Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi dakwa budaya bermewah-mewah menyusup dalam PKR
Diterbitkan:  May 15, 2025 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Penyandang timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menyampaikan amaran keras malam tadi terhadap ahli parti yang terikut kepada budaya bermewah-mewah selepas parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Semasa ceramahnya di Pahang, Rafizi memberi amaran kepada ahli parti yang berkhidmat dalam kerajaan bahawa pengundi sedang meneliti tingkah laku mereka.

"Ada orang bagitahu saya, ada seorang orang muda kritik saya di Twitter (X). Orang itu kata 'bila dah jadi kerajaan buatlah cara kerajaan. Ape nak sibuk-sibuk buat dalam dewan tak ada aircond semua. Orang buat kat hotel apa salahnya? Kita kan kerajaan?'

"Kau tak merasa lagi. Bila tak jadi kerajaan? Macam mana kalau kita tiba-tiba kalah? Macam mana kita nak bina semula parti? Kalau kita ajar anggota parti kita dengan kemewahan yang terlampau, duit yang terlalu cepat, dia bukan saja melemahkan kita, jati diri parti kita, anggota kita, pimpinan kita.

"Tapi yang lagi berbahaya ialah rakyat tengok dan rakyat kata sebenarnya kamu ini tak ada beza dengan mereka yang sebelum ini, sedangkan kita letakkan harapan yang tinggi kalau kamu jadi kerajaan, kamu ubahlah semuanya," kata menteri ekonomi itu.

Ceramah di Pahang adalah sebahagian daripada jelajah kempen Rafizi di seluruh negara yang dipanggil Jelajah Hiruk.

Rafizi akan mempertahankan jawatan timbalan presiden menentang pencabarnya Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan pucuk pimpinan pusat PKR 23 Mei ini.

Nurul Izzah adalah penyandang jawatan naib presiden PKR yang dilantik ke jawatan itu pada 2022.

Awal hari ini, backbencher kerajaan Wong Chen menyorot bahawa parti yang pernah menjadi pembangkang yang kini sebahagian daripada kerajaan nampaknya dilihat 'luntur' dari perjuangan asal dan terjerumus dalam politik wang.

Bercakap pada satu majlis di Kuala Lumpur, ahli parlimen PKR itu berkata "budaya politik rosak" boleh diperhatikan dalam pemilihan parti komponen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Wong turut mengenang kembali zaman awal penglibatannya dalam PKR, zaman parti itu kekurangan dana dan menjalankan aktiviti ceramah di pondok kecil atau kedai kopi.

"Ketika saya mula menyertai PKR, kita buat ceramah di pondok atau warung kopi. Tapi sekarang, ia diadakan di hotel-hotel mewah.

"Dari mana datang semua wang ini? Saya pun tak tahu. Duit saya cukup untuk sara keluarga saya, tapi tidak cukup untuk biayai kerjaya politik saya," ujar Wong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS