Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan cuba sebaik mungkin elak bina jalan rentas hutan - Nik Nazmi

Kerajaan akan mencuba sebaik mungkin dan sebanyak yang boleh bagi mengelak projek-projek pembinaan jalan raya yang merentasi kawasan habitat hidupan liar, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkata bagi mencapai usaha tersebut pihaknya telah meminda Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667).

“Kita ambil maklum tentang pandangan pihak NGO (badan bukan kerajaan) untuk kita menghentikan projek-projek di kawasan hutan.

“Kita juga cuba mengelaknya sebanyak mungkin (projek pembinaan merentasi hutan) dan sebab itu kita telah buat pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 yang mana sebarang proses penyahwartaan dilakukan terhadap mana-mana hutan simpan perlu dilakukan pendengaran awam dan kalau dinyah warta dia kena gantikan dengan sekurang-kurangnya satu saiz hutan yang sama besar.

“Bagi saya (hentikan projek rentas kawasan habitat hidupan liar adalah) yang terbaik dan kalau boleh memang kita pun tak nak (buat projek rentasi habitat hidupan liar).

“Sebagai contoh kita telah hentikan projek-projek jalan di Pantai Timur kerana didapati melalui kawasan harimau,” katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini di Putrajaya, semalam.

Nik Nazmi berkata demikian mengulas gesaan kumpulan alam sekitar, RimbaWatch supaya kerajaan mengeluarkan arahan henti kerja serta menghentikan projek-projek pembinaan jalan raya yang merentasi kawasan habitat hidupan liar.

Dalam kenyataannya pada Selasa, RimbaWatch mempersoalkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar bagi dua projek jalan raya di Terengganu dan Pahang pada tahun 2022, yang membabitkan pembinaan jalan sepanjang 52 kilometer merentasi rizab harimau Diraja Al-Sultan Abdullah.

Kawasan itu dikenal pasti sebagai habitat utama pelbagai spesies haiwan liar, termasuk harimau Malaya yang diancam kepupusan, harimau kumbang (melanistic leopard), harimau dahan, kucing batu, kucing emas dan kucing hutan.

Selain itu, kawasan hutan simpan kekal itu turut menjadi tempat perlindungan bagi spesies terancam lain seperti gajah Asia dan tapir Malaya.

Kenyataan Rimbawatch itu susulan insiden seekor anak gajah mati dilanggar lori kontena di Lebuhraya Timur-Barat berhampiran sempadan Gerik (Perak) dan Jeli (Kelantan) baru-baru ini.

Dilema pembangunan dan alam sekitar

Mengulas lanjut usaha kerajaan itu, Nik Nazmi yang juga penyandang jawatan naib presiden PKR berkata banyak projek kerajaan telah dibatalkan bagi menjaga kewujudan pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan.

“Di beberapa projek infra juga kita tengok contohnya beberapa lebuh raya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang ada laluan hidupan liar juga kita cadangan beberapa langkah lain.

“Kita juga telah membatalkan kawasan lapangan terbang baru dekat Tioman kerana isu biodiversiti di situ.

“Tetapi kita sebagai sebuah negara membangun dan juga ada keperluan pembangunan dan sebagainya kita perlukan (projek-projek tersebut. Tapi iyalah itu antara dilema yang kita hadapi,” katanya.

Tambah ahli Parlimen Setiawangsa itu lagi, kerajaan juga ketika ini sedang menambah baik segala keberkesanan pelaksanaan langkah-langkah yang diambil pihaknya dalam menjaga hidupan liar di negara ini.

“Lebuhraya Timur Barat dah lama ada dan di situ pun ada beberapa laluan hidupan liar, cumanya kita sedang lihat bagaimana hendak menambahkan keberkesanan dan juga mungkin santuari gajah itu kita nak pastikan makanan dia cukup supaya dia tak perlu keluar dari habitat mereka.

“Itu antara perkara-perkara yang perlu kita lakukan di peringkat kerajaan Persekutuan dan juga peranan kerajaan negeri sebab hutan dan tanah adalah soal kerajaan negeri,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS