Walaupun terdapat arahan kerajaan untuk menghentikan operasi, syarikat e-hailing Maxim Malaysia berkata ia akan terus beroperasi di seluruh negara ini.
Maxim berkata ia sedang berhubung dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyelesaikan perkara itu dan mengekalkan reputasinya.
"Maxim kekal komited terhadap keselamatan awam dan pematuhan peraturan," kata syarikat itu dipetik Malay Mail.
Ia menambah bahawa semua pemandu rakan kongsi menjalani pemeriksaan dokumen untuk memastikan keselarasan dengan garis panduan e-hailing yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Kementerian Pengangkutan.
Syarikat yang telah beroperasi di Malaysia selama lima tahun itu turut menyebut kerjasama dengan beberapa sekolah memandu di Malaysia.
“Selain itu, Maxim juga bekerjasama dengan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk memastikan bakal pemandu memahami peraturan lalu lintas dan garis panduan yang mengawal lalu lintas di jalan raya Malaysia,” tambahnya.
Pada 9 Mei, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Apad telah mengarahkan dua aplikasi e-hailing Rusia - InDrive dan Maxim - untuk menghentikan operasi kerana didakwa beroperasi secara haram.
Loke berkata arahan itu berkuat kuasa mulai 24 Julai.
Namun, katanya, kedua-dua syarikat pengangkutan boleh membuat rayuan.
Arahan itu dikaitkan dengan kenyataan Persatuan Penunggang P-Hailing Malaysia pada 5 Mei, yang menggesa tindakan penguatkuasaan tegas terhadap syarikat itu, termasuk menyekat akses kepada mereka, kerana menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah Akta sedia ada.
Persatuan itu mendakwa bahawa kedua-dua platform itu gagal memastikan pemandu mereka memiliki lesen PSV yang sah, seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang.