Wartawan veteran dan Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin, mencadangkan supaya rakyat mula menamakan sekurang-kurangnya 10 tokoh politik yang berpotensi diangkat sebagai perdana menteri Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Gesaan itu dibuat dalam satu tulisan terbarunya yang membangkitkan kemungkinan Nurul Izzah Anwar — anak kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim — menjadi perdana menteri wanita pertama negara sekiranya percaturan politik semasa memihak kepadanya.

“Sama ada dia akan menjadi seorang lagi anak perdana menteri yang berjaya naik menjadi perdana menteri, seperti Najib Razak, atau tersekat separuh jalan seperti Hishammuddin Hussein dan Mukhriz Mahathir, hanya masa yang akan menentukan,” katanya.
Dalam tulisan itu, Kadir mengulas perkembangan pemilihan PKR, khususnya pencalonan mengejut Nurul Izzah untuk jawatan timbalan presiden parti, walaupun pada awalnya hanya menyatakan hasrat mempertahankan kerusi naib presiden.
Menurut Kadir, perkembangan tersebut menunjukkan “ketoprak politik” sedang berlangsung dalam PKR, apabila pemimpin cawangan dan negeri secara tiba-tiba mencalonkan Nurul Izzah bagi mencabar penyandang, Rafizi Ramli.
Rafizi yang juga penyandang timbalan presiden disifatkan Kadir sebagai individu yang mungkin sudah “hilang plot” apabila menggesa perwakilan menyokong Nurul Izzah — pesaingnya sendiri — dalam pertandingan tersebut.

“Boleh jadi juga Rafizi akan tarik diri sebelum pengundian kerana dia tahu akan kalah. Dengan cara itu bolehlah dia mengharapkan belas kasihan keluarga Perdana Menteri untuk terus diberikan kedudukan,” katanya lagi.
Menyentuh kedudukan Rafizi dalam pentadbiran kerajaan, Kadir menyatakan bahawa bekas menteri ekonomi itu kelihatan seperti terpinggir, meskipun sebelum ini berjaya menewaskan Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan parti dan kembali ke Parlimen pada PRU15.
Dalam pemerhatian lebih luas, Kadir membandingkan langkah menaikkan Nurul Izzah dengan strategi politik Anwar pada era Umno 1990-an, ketika dia berjaya menyingkirkan Allahyarham Ghafar Baba untuk jawatan timbalan presiden parti.
“Pemerhati politik veteran dan kontemporari Anwar ketika beliau di dalam Umno tentu tidak terperanjat dengan ‘manoeuvre’ menaikkan Nurul Izzah.

“Ia seacuan dengan olah gerak kem Anwar menyingkirkan Almarhum Abdul Ghafar Baba dalam pemilihan Umno tahun 1993,” katanya.
Menutup tulisannya, Kadir menyeru supaya perhatian rakyat tidak hanya tertumpu kepada tokoh lama atau anak-anak mereka, tetapi sebaliknya mula menamakan pemimpin muda yang berwibawa untuk menerajui negara pada masa akan datang.
“Apa-apa pun, kita tidak boleh menangguhkan terlalu lama untuk melakukan peralihan daripada generasi pasca-Perang Dunia Kedua kepada generasi-generasi berikutnya.
“Kepimpinan politik kita semakin tua dan terperangkap dalam politik peribadi yang merosakkan,” katanya.
