Kementerian Pendidikan hari ini berdepan kritikan susulan ketetapan bahawa gred A+ dan A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dianggap sebagai "tidak cukup cemerlang" untuk kemasukan automatik ke program matrikulasi kerajaan — sekali gus menafikan kelayakan pelajar yang mendapat A-.
Senator C Sivaraj yang mempersoalkan dasar baru itu, berkata ini sebagai tidak masuk akal serta tidak adil kepada pelajar yang cemerlang.
“Ini bermakna pelajar yang memperoleh sembilan A, atau 10A termasuk gred A-, tidak lagi dianggap sebagai pelajar cemerlang bagi tujuan kemasukan automatik ke matrikulasi. Kita perlu tanya diri kita — adakah kita mahu mengiktiraf kecemerlangan pelajar atau hanya mahu memenuhi kuota tertentu?”

“Agak janggal apabila pelajar cemerlang dipaksa membuat rayuan untuk masuk ke program matrikulasi, sedangkan mereka sudah membuktikan keupayaan dan memiliki keputusan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sivaraj turut menyelar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menurutnya lebih sibuk mempertahankan ketetapan tidak munasabah berbanding mendengar suara rakyat.
“Kalau kerajaan benar-benar serius mahu melahirkan generasi berkualiti, mengapa pula pintu masa depan ditutup atas alasan birokrasi?” soalnya.
'Bagaimana dengan pelajar ambil kurang 10 subjek?'
Sivaraj turut membangkitkan isu pelajar — terutamanya bukan bumiputera dan yang belajar di sekolah harian biasa — yang lazimnya mengambil sembilan subjek sahaja dalam SPM.
“Ini bukan kelemahan, tetapi berpunca daripada struktur sekolah, faktor persekitaran dan tumpuan kepada kualiti, bukan kuantiti,” jelasnya.
Menurutnya, ramai dalam kalangan pelajar ini mendapat sembilan A, termasuk A dan A+, namun tetap tidak layak menerima tawaran automatik kerana tidak mengambil 10 subjek seperti ditetapkan.

Dia turut memetik program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang mengiktiraf gred A+, A dan A- sebagai cemerlang.
“Sudah tentu definisi kecemerlangan dalam program matrikulasi juga wajar diselaraskan agar tidak berlaku tafsiran berbeza dalam satu sistem pendidikan yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, Sivaraj mengemukakan dua cadangan.
Petama gred A- dimasukkan dalam kategori cemerlang, sejajar dengan takrifan yang digunakan dalam syarat kemasukan IPGM.
“Penolakan automatik terhadap A- seolah-olah menafikan usaha gigih pelajar yang berada dalam lingkungan pencapaian tinggi,” katanya.

Kedua, katanya, pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya sembilan A (gabungan A+, A dan A-) juga wajar dipertimbangkan secara automatik untuk kemasukan ke program matrikulasi.
“Ini kerana pelajar tidak diwajibkan mengambil 10 subjek, dan ramai pelajar bukan Islam khususnya hanya mengambil sembilan subjek atas kekangan tertentu,” tambahnya.
'Jangan hukum pelajar kerana sistem'
Mengulas lanjut, Sivaraj menegaskan bahawa menghukum pelajar hanya kerana mengambil satu subjek kurang adalah tidak adil dan bertentangan dengan dasar pendidikan yang progresif.
“Jangan kita hukum pelajar kerana sistem. Sebaliknya bantu mereka berdasarkan potensi yang mereka ada,” katanya.
Katanya, kerajaan yang kononnya prihatin tidak sepatutnya menutup mata terhadap suara anak muda yang telah membuktikan kebolehan mereka.

“Kita tidak boleh mentadbir negara dengan semata-mata sentimen dan slogan,” tegasnya.
“Pendidikan bukan ruang eksperimen. Ia medan keadilan. Saya percaya Malaysia tidak sekecil dan selemah itu sehingga keadilan pun dianggap satu ancaman.
“Negara ini cukup besar untuk menampung keadilan untuk semua — jika ada kemahuan. Dan jika ada keberanian,” katanya lagi.
