Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sewaktu zaman muda, saya dan ramai teman sebaya terlibat dengan apa yang disebut sebagai gerakan intelektual awam atau public intellectual. Kerana kami, dan generasi sebelum kami, dirundung keresahan. Kami resah tentang keadaan sekeliling, kami resah tentang nasib bangsa, kami resah tentang masa depan negara.

Keresahan ini dibakar oleh resah fikiran atau intellectual anxiety yang merundung anak muda sejak zaman 70-an yang berkesempatan mendapat peluang pendidikan baik di peringkat rendah, menengah atau tinggi.

Resah fikiran ini seringkali mengganggu tidur!

Justeru kami salurkan keresahan ini menerusi kegiatan membaca, berfikir, seni, dan sastera. Kami salurkan resah gelisah kami dengan mengarang esei dan puisi yang kami kirimkan ke dada akhbar dan majalah saban minggu—kemudian, semenjak awal 2,000 di blog.

Resah fikiran ini turut kami salurkan menerusi gerak tingkah dalam dunia nyata. Keresahan inilah yang mendorong kami terlibat dalam segala aktiviti kemasyarakatan daripada seni rakyat sehingga gerakan politik.

Resah fikiran ini membangkitkan kami daripada kelalaian zaman remaja untuk mengisi makna hidup dan berjuang mengangkat martabat bangsa dan negara.

Kami belajar dan mengambil iktibar daripada generasi terdahulu yang berani bangkit menentang segala cabaran demi merealisasikan sebuah bangsa dan negara yang menjadi idaman.

Keresahan fikiran dan segala gerak tingkah anak muda pada zaman itu dan seterusnya, yang merebak di banyak negara yang baru merdeka dan sedang membangun, telah menarik perhatian para sarjana ilmu sosiologi. Misalnya, kita menyaksikan penerbitan sebuah karya berjudul Intelektual Masyarakat Membangun karangan ahli sosiologi Melayu terulung abad ke-20, Syed Hussein Alatas.

Kemudian resah fikiran generasi muda pada dekad 1990-an semakin membara setelah terbitnya karya berjudul Gelombang Kebangkitan Asia. Karya ini memberi nafas perjuangan baharu buat anak muda pada waktu itu. Tatkala berlaku kemelut politik negara pada tahun 1998 kami tidak teragak-agak lagi untuk bangkit menyatakan pendirian. Kebangkitan rakyat ini seringkali mengingatkan saya kepada beberapa bait puisi Chairil Anwar, “kasih tangan mari kita bikin janji, aku sudah cukup lama dengan bicaramu, dipanggang di atas apimu, digarami lautmu.”

Kemelut politik ini mengajarkan anak muda zaman saya dan seterusnya tentang perjuangan dan pengkhianatan. Terlalu ramai yang tumpas di pertengahan jalan. Namun masih ada yang terus istiqamah. Lantaran kesedaran bahawa membina negara dan bangsa idaman yang bermartabat bukan perjuangan mudah tetapi penuh liku, cabaran, dan godaan.

Namun mutakhir ini keadaan sudah agak berubah. Anak muda tetap jua resah. Tetapi resahnya itu keresahan emosi yang dibajai budaya konsumerisme yang membanjiri pentas media sosial. Resahnya muncul akibat Fomo (Fear of Missing Out)—takut ketinggalan zaman atau tersisih daripada gaya hidup semasa.

Generasi muda pada hari ini nyaris tidak dapat membezakan mana yang nyata dan mana yang ilusi. Ramai yang semakin mudah terpedaya dengan isi kandungan media sosial. Tanpa pernah meragui dan bertanya lanjut—jauh sekali bertanyakan soalan yang betul—bagi memastikan kebenaran atau ketepatan sesuatu perkara. Hinggakan mereka dihantui segala macam keresahan dan ketakutan tidak berasas.

Dulu resah fikiran membangkitkan kesedaran dalam jiwa anak muda. Tetapi kini keresahan emosi mengundang tekanan jiwa dan perasaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Fenomena ini sedang merebak di seluruh dunia. Dari kota besar sehingga desa terpencil selagi ada network coverage.

Bahkan sudah acapkali saya sebutkan tentang buku berjudul The Anxious Generation tulisan Jonathan Haidt yang memperihalkan tentang keresahan emosi golongan kanak-kanak dan remaja mutakhir ini.

Jikalau generasi muda terus terkongkong tanpa sedar dalam dunia ilusi media sosial maka kita bimbang cita-cita membina sebuah negara bangsa bertamadun mustahil akan tercapai. Sekiranya generasi muda terus khayal dengan gaya hidup serba palsu dan tohor maka saya bimbang negara kita bakal diwarisi oleh generasi yang lemah, lekas mengalah, dan tidak berani bangkit mempertahankan kedaulatan negara serta kerukunan bangsa.

Pihak kerajaan bertanggungjawab menggarap kebijakan bagi menangani dampak buruk teknologi baharu yang mengancam keselamatan dan kerukunan hidup rakyat. Kerajaan Negeri Selangor, misalnya, sedang menyiapkan Kertas Putih Kecerdasan Buatan yang bertujuan, antara lain, mencari jalan menangani masalah keselamatan data pengguna dan kesihatan mental.

Pada waktu sama kita mengharapkan agar ibu bapa membimbing anak-anak supaya memanfaatkan teknologi komunikasi dan media untuk tujuan menambahkan ilmu dan pengetahuan. Bukan untuk tujuan hiburan dan keseronokan semata-mata. Generasi muda harus diberi kesedaran bahawa aneka gaya hidup yang terpapar di media sosial itu palsu dan ilusi belaka. Bahawa mengejar gaya hidup dan trend bukan sesuatu yang asasi dan mustahak dalam kehidupan kita. Justeru usah resah wahai kawan!  


AMIRUDIN SHARI ialah menteri besar Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS