Lebih 2,000 tan metrik sisa pepejal dikutip setiap hari di Kuala Lumpur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Zaliha berkata jumlah itu melibatkan kos pengurusan mencecah RM220 juta setahun yang ditanggung oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ini satu angka yang besar dan membimbangkan. Justeru, kita tidak boleh lagi bertindak secara reaktif atau berpuas hati dengan pendekatan lama.
“Kita tidak punya banyak masa. Kita perlu bermula sekarang. Ibu kota ini perlu diwariskan kepada generasi masa depan. Saya tidak mahu dalam kepimpinan saya, tiada sebarang agenda mahupun tindakan untuk menyelesaikan isu yang sepatutnya sudah lama diselesaikan ini,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Dia berkata demikian sempena pelancaran Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur ke Arah Sifar Sisa 2040, yang juga satu komitmen besar ke arah menjadikan ibu negara lebih bersih dan lestari.
Melalui pelan itu, kata Zaliha, negara menyasarkan pengurangan 20 peratus sisa organik dan 40 peratus sisa bukan organik (20:40) ke tapak pelupusan menjelang 2040.
“Ini bukan sahaja memerlukan perubahan sistem, tetapi perubahan budaya,” katanya.
Katanya lagi, usaha itu tidak boleh dipikul DBKL semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara bersama oleh semua pihak termasuk kerajaan, industri, komuniti dan institusi pendidikan.
-Bernama