Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | 'Demokerasi' dalam demokrasi era Anwar Ibrahim

ULASAN | Para saintis politik selalu mengkelaskan struktur demokrasi kepada dua unsur, pertama demokrasi bertatacara (procedural democracy) yang menekankan struktur-struktur yang membentuk demokrasi seperti hak mengundi, pilihan raya yang saksama dan telus, dan hak asasi. Kedua ialah demokrasi substantif yang melihat bagaimana tatacara dan struktur demokrasi ini diamalkan dan diperkasakan. 

Contohnya, “kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan” yang dimaktubkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan adalah satu bentuk demokrasi bertatacara. Bagaimana kebebasan-kebebasan ini dapat diamalkan oleh warga dan bentuk kawalan yang dikenakan pula terangkum dalam demokrasi substantif. 

Menimbangkan hal ini, maka wajarlah apabila Anwar Ibrahim dan PH naik ke tampuk kekuasaan tertinggi negara, kita mengharapkan akan ada pemerkasaan dan perlindungan demokrasi substantif. Identiti kepolitikan Anwar Ibrahim dan teman-teman ditandai dengan penglibatannya dalam himpunan awam dan demonstrasi. 

Sejak di zaman universiti, dibuang Umno sehinggalah kepada masanya dalam penjara, demonstrasi dan himpunan awam jadi bumbu perjuangan Anwar. Entah berapa kali nama Anwar mengalir dalam alur sejarah ruang jalanan dan ruang awam seluruh Kuala Lumpur. 

Dengan pengalaman Anwar dan PH, Madani diharap dapat lebih bekerja keras daripada sekadar meneruskan penginstitusian demokrasi bertatacara tadi. Antara lain, kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan dengan selamat dapat merangkumi bercakap dan berhimpun untuk hal-hal wacana yang kritikal termasuk mengkritik dasar negara. 

Ini kerana di situlah letaknya ujian asas yang membezakan antara demokrasi dan autoritarian sesebuah negara – jika warganya tidak boleh mengkritik penguasa dengan selamat dan aman, ini bermakna penguasa sedang menuju kegagalan dalam ujian amali demokrasi.

Persoalan

Melihatkan beberapa kejadian tahun ini, mengapa masih tidak ada perubahan dalam cara radas kenegaraan memberi respons terhadap amalan-amalan demokrasi sihat yang mahu diamalkan kini? Kedai buku masih dikerasi Kementerian Dalam Negeri. Aktivis masih ‘diselingkuh’ prosedur yang konon demokratik.

Ini juga terlihat apabila kumpulan mahasiswa Federasi Pemuda Kebangsaan, Liga Mahasiswa Malaysia dan teman-teman berkumpul untuk membaca dan berwacana bersama-sama di Dataran Merdeka. Mereka dipersoal oleh pihak penguasa yakni DBKL yang meminta permit himpunan. 

Untuk membaca dan bersembang suatu hal yang intelektual bersama-sama di ruang awam dikatakan memerlukan kelulusan oleh pihak penguasa. 

Padahal ini bukan kali pertama aktiviti di ruang awam seperti ini dilaksanakan. Bukan tidak ada orang membaca dan berwacana di ruang awam. Sudah beberapa siri Buku Jalanan digerakkan di setiap pelosok ruang awam Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain. Beberapa bulan lepas juga, Kuala Lumpur Reads juga menumbuhkan kegiatan yang jauh lebih konsisten sehingga kini - berhimpun dan membaca di taman awam pada waktu yang sama. 

Persoalannya, mengapa respons pertama pihak berkuasa terhadap kumpulan anak muda ini berbentuk keras dan penuh kecurigaan? Tidakkah aspirasi Malaysia Madani adalah untuk menyuburkan budaya ilmu dan diskusi di kalangan masyarakat? Bukankah para politikus Madani sekian ramai pernah berjuang supaya ruang awam menjadi wahana demokratik yang bebas kekerasan dan intimidasi? 

Jadi, bagaimana mungkin institusi-institusi kerajaan bertindak dengan cara yang bercanggah dengan aspirasi demokrasi itu sendiri? 

Demokerasi : Demokrasi yang dikerasi

Saya unjurkan frasa ‘demokerasi’, gabungan perkataan ‘demokrasi yang dikerasi’ untuk menilai situasi ini. Demokerasi ini boleh didefinisikan sebagai fenomena di Malaysia di mana reaksi pertama (default response) penguasa dan radas negara terhadap bentuk-bentuk amalan demokratik di ruang awam adalah kekerasan. 

Lazimnya, amalan yang dikenakan demokerasi ini adalah jenis amalan demokrasi substantif sebab di sinilah agensi dan autonomi warganegara diguna pakai di ruang dan cara yang mandiri. Kekerasan yang dimaksudkan pula termasuklah kekerasan bahasa dengan sebab untuk menakutkan atau mengintimidasi serta cara-cara kekerasan lain seperti kekerasan fizikal, gangguan seksual, membaling gas dan kekerasan lain yang lebih jelas. 

Kelihatannya demokerasi ini bergerak apabila ruang awam diguna pakai oleh pengguna yang tertentu dengan tujuan yang tertentu. Identiti pengguna yakni penggerak dan peserta sesuatu aktiviti demokratik tersebut menentukan lubang-lubang ‘akses’ penguasa terhadap aktiviti tersebut. 

Misalnya, kita tidak boleh mencicirkan bagasi identiti yang dibawa para mahasiswa dan penggerak Diskusi dan Buku Jalanan di Dataran Merdeka pada 10 Mei lalu. Rata-ratanya merupakan mahasiswa yang punya rekod aktivisme dan kesedaran sosial yang likat. Alyah Hani, mahasiswa dan wakil Liga Mahasiswa Universiti Malaya pernah disoal siasat sebelum ini kerana penglibatannya dalam Perhimpunan Solidariti Palestin. Dia kemudian membuat laporan polis berkenaan anggota polis yang dikatakan membuat gangguan berbentuk seksual terhadap dirinya. 

Individu-individu lain yang hadir pada malam itu juga punya latar belakang yang lebih kurang serupa. Mereka anak muda, ada mahasiswa yang memang rajin beraktiviti dan bersuara apabila ada hak-hak dan dasar negara yang perlu disemak imbang. Mereka sedar diri, mahu dan tahu memakai kesedaran itu dalam ruang demokrasi demi kebaikan massa. Kalau mahasiswa dan anak muda ini cuma fikirkan laba sendiri, buat apalah mereka hendak renyah membaca dan berdiskusi?

Selain itu, wacana dan wahana aktiviti mereka selalunya dalam bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa etnik minoriti lain. Ciri-ciri identiti ini, nampaknya, melakar garis pemisah antara bagaimana para pengguna ruang awam ini dilayan. 

Hakikatnya, para penguasa lebih mudah untuk ‘mengakses’ kumpulan dengan identiti “muda dan berbangsa dan berbahasa Melayu” sebegini. Disebabkan para penguasa juga rata-ratanya berbangsa sama dan menuturkan bahasa yang sama, ada kesedaran umuristik yang melatari intimidasi pada malam itu --- anak muda Melayu, lagi-lagi yang masih berstatus pelajar, kena kenal budaya, ‘minta izin’ dan menghormati yang lebih berkuasa dan yang lebih tua. 

Perbuatan DBKL meminta izin dan kelulusan permit ini bukannya proses yang mekanikal dan binari. Ia tertakluk kepada individu dan pegawai yang menyelia dan mengawal proses ini. Selama ini, orang berpiknik, membaca dan berkumpul di Dataran Merdeka tidak pula diganggu dan dikerasi padahal mereka pun sedang buat hal sendiri secara aman dan sukarela. 

Seolah-olah ada beban tambahan pengguna ruang awam dengan ketersilangan identiti yang spesifik untuk mengamalkan kebebasan demokrasi yang memang menjadi haknya.

Amalan ‘minta izin’ ini wujud dalam prosedur formal dan tidak formal masyarakat Malaysia. Ia memang ada unsur ego, kawalan, umur dan penyuguhan kekuasaan. Contoh ‘minta izin’ tidak formal adalah yang muda harus menunjukkan isyarat hormat dan minta izin seperti sedikit tunduk apabila berjalan depan yang lebih tua. Tidak cium tangan apabila bersalaman dengan yang lebih senior juga sampai dibelasah seperti yang berlaku dalam komuniti Skinhead baru-baru ini.

Prosedur ‘minta izin’ yang formal seperti yang diminta oleh radas negara malam itu juga didasari unsur-unsur yang sama. Jika tidak, tidaklah cuma kumpulan mahasiswa dan anak muda ini sahaja yang menjadi sasaran kekerasan melalui kawalan. Kenapa orang lain yang berhimpun dan berpiknik di tempat yang sama tidak diminta untuk mendapatkan kelulusan dan permit daripada radas penguasa? 

Katalah kalau penggerak Diskusi dan Buku Jalanan itu pakcik-pakcik tua pencen yang mahu membaca dan berwacana mengkritik dasar dan politikus negara seperti yang lazim berlaku dalam masjid dan surau – adakah mereka juga akan diintimidasi sedemikan rupa juga?

Kekerasan tidak bergerak dalam vakum budaya.

Fungsi penguasa dan radas negara 

Kedua, demokerasi ini telah lama menjadi manifestasi fungsi dan kesetiaan penguasa dan radas negara. Contohnya, walaupun fungsi polis adalah untuk memastikan keamanan orang awam, kita semua tahu bahawa institusi ini juga berfungsi untuk memastikan ‘keamanan’ parti politik pemerintah. 

Maksudnya, jika sesuatu aktiviti tidak mengganggu keamanan orang awam tetapi mengganggu keamanan politikus dan/atau parti politik yang sedang memerintah seperti pada malam 10 Mei lalu, radas negara seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis ini mendemokerasi bagi menzahirkan kesetiaannya kepada penguasa.

Organisasi yang mengguna pakai hak demokrasi di ruang awam seperti Bersih pernah diharamkan oleh kerajaan sebelumnya. Kini, penggerak Bersih bukan lagi persona non grata yang dikerasi oleh radas negara seperti polis dan PBT. Bersih sudah dicop halal. Hal ini terkait dengan fungsi dan kesetiaan radas negara terhadap penguasa tertinggi negara. 

Penggunaan radas negara sebagai alat untuk menginstitusikan kawalan ke atas warganegara telah lama dihuraikan oleh Michel Foucault dalam Discipline and Punish. Setelah sekian lama, radas negara kita berfungsi dengan cara yang sama. Latihan yang diberikan kepada mereka juga kemungkinan besar masih memakai kerangka kolonial British kepada nenek moyang kita dan Raja Singapura terhadap Hang Nadim --- sesiapa dilihat pandai perlu ‘dimatikan’. 

Minda-minda sedar dan kritikal ini ‘dibunuh’ secara terancang dan bersistem dek kekerasan seperti ini --- intimidas dan gangguan untuk menakut-nakutkan.  Sehingga akhirnya, warga menjadi lembu yang dicucuk hidungnya, dan biri-biri sekawan yang hilang agensi diri kerana disergah-sergah serigala penguasa. 

Pada masa sama, radas penguasa perlu membangunkan kesedaran prodemokrasinya sendiri demi membuktikan kesetiaan dan kegunaannya. Ia harus lebih hati-hati dalam merefleksi apakah ideologi kefungsiaannya selama ini elok dan wajar diteruskan lagi. Radas penguasa perlu merdeka daripada mentaliti perlu menjadi terlalu overprotective terhadap penguasa politik. 

Kiblat radas penguasa perlu bertukar kepada Perlembagaan Persekutuan dan benar-benar demi perlindungan hak-hak warganegara terbanyak. Daripada berkeras, fungsi perlu bertukar kepada memastikan pengguna ruang awam seperti kumpulan mahasiswa dan anak muda itu tadi merasa selamat dan aman dalam menggunakan hak demokrasinya. 

Demokerasi perlu tamat di era Anwar

Oleh sebab itu, intervensi penguasa sedia ada dalam merombak pedagogi pelaksanaan kawalan oleh radas negara kena berjalan segera. Tapi ini sukar untuk dilaksanakan tatkala penguasa yang dahulunya golongan yang tertindas, kini mendapat manfaat daripada menjadi penindas. Demokerasi memang amat menguntungkan para politikus autoritarian. 

Namun begitu, melihatkan resume perjuangan Anwar dan PH, kita percaya, pimpinan kini boleh melawan belenggu nafsu ammarah, lawammah dan mulhamah itu. Pada era ini, demokerasi perlu dimatikan secara figuratif dan sistematik. Mereka bukan tidak tahu formula, akar dan impak perpanjangan demokerasi kepada pembangunan sosial negara. 

Embargo yang bersifat peribadi oleh Anwar sebagai Perdana Menteri bukan reformasi dasar yang boleh menghentikan demokerasi. Kita sendiri lihat betapa moratorium Seksyen 11 Akta Himpuan Awam tidak cukup untuk menghentikan demokerasi radas-radas negara. 

Pemindaan segenap undang-undang demokerasi (termasuklah di peringkat PBT)  perlu berlaku segera. Ia juga harus diiringi dengan penyataan dan pendirian jelas oleh para politikus penguasa bahawa mereka tegas mahu mendukung demokrasi substantif secara menyeluruh, bukan berdiam sahaja atas alasan “bukan bidang kuasa kementerian saya”. 

Berpuluh-puluh tahun demokerasi ini diperangi di ruang-ruang diskusi, di jalanan, di ruang-ruang awam dan di arakian banyak perbincangan dengan anak muda dan yang tua – perang yang sebenar bermula apabila sudah di kerusi empuk kuasa. 

Alang-alang kuasa di tangan, janji-janji kena dikotakan. Jangan nanti bila sudah terjatuh dan terhantuk, baru hendak terngadah pula. 


NUR ADILLA ialah calon Doktor Falsafah di Universiti Waseda, Tokyo, Jepun. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS