Sempena Hari Guru hari ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada Julai ini, mengimbau kembali kenangan zaman persekolahannya.
“Dulu ketika saya membesar, ibu bapa ke sekolah dan serah anak kepada guru dengan pesanan - jika nakal dan degil, rotanlah. Ajar mereka bagaimana cikgu mendidik anak cikgu sendiri, asal janganlah patah dan bengkok,” katanya dalam video yang dikongsikan di Facebook hari ini.
Mengakui bahawa zaman telah berubah, Mahathir berkata rotan kini tidak lagi digunakan untuk membentuk pelajar.
“Namun ia (rotan) kekal dalam ingatan, betapa disiplin dan guru tidak terpisah,” katanya lagi, sambil berkata dia juga pernah dirotan ketika zaman persekolahan.
Kata Mahathir lagi, guru memikul tanggungjawab yang besar dan ibu bapa meletakkan harapan tinggi kepada pendidik untuk menyemai ilmu, disiplin dan adab dalam diri anak-anak mereka.
“Kerana itu guru dimulia dan dirai. Masa depan anak bangsa dan negara terukir di tangan mereka,” katanya.
Dia berkata selepas ibu bapa, gurulah yang membentuk “hitam putih kehidupan” seseorang.
“Sifirnya mudah. Jika dengar pesan dan ajaran guru, kehidupan insya-Allah teratur dan berjaya.
“Jika hidup tidak tenteram dan diselubungi kegagalan, ini kerana tidak mendengar ajaran guru,” katanya lagi.
Mahathir, yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1925, dikatakan seorang yang cemerlang dalam pelajaran. Allahyarham bapanya pula, Mohamad Iskandar, merupakan seorang guru besar di sekolah menengah aliran Inggeris.
