Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan obses tapi pertahan hak Najib - Akmal jawab Anwar
Diterbitkan:  May 16, 2025 6:27 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh hari ini membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mempertikai pihak yang dianggap "obses" dengan skandal 1MDB dan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Bukan obses pada Najib wahai PMX (perdana menteri). Tetapi mempertahankan hak Najib yang telah mendapat tahanan rumah yang dikurniakan kepada beliau oleh Tuanku Agong yang sebelum ini.

"Kami tidak turun berdemo mempertikaikan keputusan mahkamah seperti yang pernah dilakukan oleh penyokong Anwar satu masa dahulu. Kami hanya mahu hak Najib diberikan sahaja.

"Mahkamah dah berikan keputusan ke atas kes beliau maka kami akur, tetapi apabila Najib diberikan hak tahanan rumah oleh Tuanku Agong, maka harus kita semua akur," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Akmal mengulas laporan Malaysiakini berdasarkan wawancara eksklusif Anwar dengan 101 East Al-Jazeera.

Anwar mempersoalkan "obsesi" terhadap skandal 1MDB dan Najib, yang kini berada di penjara, sementara masih terdapat banyak lagi kes berkaitan rasuah yang melibatkan berbilion-bilion kerugian.

"Saya fikir ia adalah helah terang-terangan dan jahat oleh beberapa penyangak yang terus menonjolkan Najib berulang kali supaya kes mereka diabaikan," katanya.

Mengulas lanjut Akmal berkata dia dan penyokong Najib yang lain adalah serupa dengan mereka yang menyokong Anwar apabila Anwar dipecat daripada kerajaan dan dipenjarakan.

"Sama juga seperti penyokong Anwar dahulu, yang merasakan Anwar perlu diberikan hak pengadilan yang adil begitu juga kami pada Najib.

"Tiada helah yang lain, selain dari hak Najib perlu diberikan. Bagaimana Anwar mempunyai jasa pada negara, begitu juga dengan Najib yang tidak boleh dinafikan jasanya.

"Maka jangan takut, jangan bimbang ya PMX," katanya.

Pada 29 Jan tahun lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan titah adendum, yang meringankan hukuman penjara Najib Abdul Razak kepada tahanan rumah.

Ini adalah tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan, yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu kepada enam tahun dan RM50 juta.

Hukuman itu adalah berhubung kes salah guna kuasa SRC International berjumlah RM42 juta, pecah amanah dan kes pengubahan wang haram.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS