ULASAN | Kalau bukan kerana kehangatan pemilihan PKR yang sedang berlangsung, mungkin ramai rakyat Malaysia tidak mengenali nama Timbalan Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi Ramanan Ramakrishnan.
Mana tidaknya, nama beliau dipetik berkali-kali oleh penyandang timbalan presiden PKR Rafizi Ramli dalam siri Jelajah Hiruk yang dianjurkan di seluruh negara sehingga menyebabkan Ramanan menjadi popular.
Bermula dengan respons menteri ekonomi itu kepada kenyataan Ramanan bahawa parti itu gagal menjaga kebajikan ahli di peringkat akar umbi, Rafizi turut mempersoalkan ahli Parlimen Sungai Buloh itu berhubung jumlah kerusi PKR semasa pilihan raya umum akan datang.
Rafizi bakal dicabar oleh penyandang naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden, akan tetapi saingan itu menyaksikan Ramanan yang dapat nama!
Seperti penulis, sudah tentu ramai tertanya-tanya, “siapa Ramanan ini?” sehingga menjadi ‘pujaan’ pemimpin besar seperti menteri ekonomi itu sebaris dengan nama Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang sering disebut-sebutnya.
Cuma bezanya Ramanan sama parti dengan Rafizi berbanding Sanusi yang merupakan anggota parti pembangkang, PAS.
Siapa Ramanan?
Nama Ramanan ini mula “meletup” selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila menewaskan seorang yang dianggap pemimpin masa hadapan, Khairy Jamaluddin dalam pertembungan tujuh penjuru di Sungai Buloh.
Walaupun PKR merupakan penyandang kerusi Sungai Buloh dan Ramanan hanya mendapat majoriti 2,693 undi, bekas ketua Pemuda Umno itu dianggap sebagai seorang calon “heavyweight” berdasarkan pengalamannya menjadi menteri di tiga kementerian.

Dari menteri belia dan sukan, menteri sains, teknologi dan inovasi sehinggalah menjadi menteri kesihatan yang popular, Khairy juga berpengalaman menjadi ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengambil kerusi tersebut.
Sementara PRU15 merupakan kali pertama Ramanan menyertai pilihan raya walaupun pernah memegang pelbagai jawatan dalam parti lamanya, MIC selain pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada Yang di-Pertua Dewan Negara selama dua penggal.
Ramanan juga pernah bertugas sebagai pembantu kepada menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini Tengku Adnan Mansor selain menjadi pengerusi Persatuan Pelajar India Malaysia (MISA) dan penaung Yayasan Pendidikan, Kebajikan dan Penyelidikan (EWRF).
Sebelum dilantik sebagai timbalan menteri, Ramanan adalah pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Dari segi latar belakang, Ramanan dilahirkan dalam keluarga yang lama berkecimpung dalam arena politik.
Beliau adalah cucu kepada nama besar dalam politik kaum India di Malaysia, Devaki Krishnan, wanita pertama memegang jawatan awam di Tanah Melayu sebelum merdeka, yang dipilih sebagai ahli Majlis Perbandaran Bangsar pada 1952.
‘Kalau tiada angin….’
Pemilihan PKR seringkali diselubungi kontroversi, cuma kali ini ia mendapat perhatian yang meluas kerana presidennya, Anwar Ibrahim merupakan perdana menteri Malaysia.
Jika Ramanan tidak memainkan peranan penting dalam kumpulan Nurul Izzah, tidak mungkin dia akan diberikan “perhatian” oleh nama besar seperti Rafizi.
Seperti kata pepatah Melayu: “Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang”.
Walaupun penulis dan ramai orang tidak tahu apakah peranannya, pasti ada sebab mengapa nama Ramanan menjadi “pujaan” Rafizi.
Ramanan yang kini merupakan timbalan ketua penerangan PKR turut bertanding sebagai naib presiden.
Sekiranya ditakdirkan berjaya memenangi pemilihan kali ini, orang pertama yang perlu ditemui Ramanan bagi mengucapkan terima kasih adalah Rafizi.
Ramanan tidak akan menjadi sepopular hari ini jika tidak kerana Rafizi.
Ironinya kedua-dua Ramanan dan Rafizi berkongsi nama singkatan yang sama “RR”.
AMIN ISKANDAR merupakan hos The Tiger Show Podcast selain pernah bertugas dengan beberapa syarikat media.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
