Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis, NGO buat bantahan gesa henti pelupusan haiwan terbiar
Diterbitkan:  May 16, 2025 9:26 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Lebih 100 penunjuk perasaan hadir ke Putrajaya hari ini untuk menggesa kerajaan menghentikan pelupusan anjing terbiar dan melakukan reformasi institut.

Para penunjuk perasaan yang diketuai oleh Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) berkumpul di luar ibu pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada sebelah petang untuk menyerahkan memorandum yang menyenaraikan tuntutan mereka.

Presiden GHRF S Shashi Kumar memberitahu Malaysiakini bahawa kira-kira 120 orang menyertai protes itu.

Memorandum kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengkritik kerajaan tempatan kerana gagal mengendalikan haiwan terbiar secara berperikemanusiaan, dan mengenakan bayaran adopsi haiwan yang tinggi antara RM300 hingga RM2,000.

“Caj sebegini amat membebankan, terutama bagi NGO serta individu yang ikhlas ingin menyelamat dan memelihara haiwan-haiwan ini.

“Lebih membimbangkan, ia menimbulkan persepsi bahawa nyawa haiwan seolah-olah diperdagangkan demi keuntungan, bukannya dilindungi dengan belas ihsan.

“Kami mendesak agar agar dasar ini disemak dengan segera dan supaya PBT melaksanakan proses adopsi yang lebih telus, berpatutan, serta selaras dengan matlamat asal iaitu menggalakkan penyelamatan dan pemberian rumah baru kepada haiwan terbiar yang memerlukan," kata memorandum itu.

Sementara itu, memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengkritik Jabatan Perkhidmatan Veterinar kerana didakwa gagal melindungi kebajikan haiwan, termasuk gagal memantau tindakan oleh kerajaan tempatan dan dengan tidak memulakan dasar berkesan untuk mengawal populasi haiwan liar secara berperikemanusiaan.

Selain menggesa pelupusan dihentikan, mereka menggesa pembaharuan Akta Kebajikan Haiwan 2015, dan menyediakan latihan menyeluruh kepada kerajaan tempatan.

Mereka juga meminta kerajaan menyediakan perkhidmatan pengebirian percuma untuk menyokong sumbangan NGO kepada usaha kawalan haiwan, dan menyediakan peruntukan tahunan untuk menguruskan haiwan terbiar.

Kedua-dua memorandum itu juga mengandungi cadangan untuk meminda Akta Kebajikan Haiwan, termasuk menubuhkan Lembaga Kebajikan Haiwan Bebas, piawaian rawatan yang berperikemanusiaan, dan peralihan ke arah kaedah yang tidak membawa maut untuk menguruskan haiwan terbiar.

Memorandum itu disahkan oleh senarai 40 NGO, yang kebanyakannya adalah kumpulan kebajikan haiwan dan pusat perlindungan haiwan di seluruh negara.

Minggu lalu, lebih 300 aktivis kebajikan haiwan berhimpun di luar bangunan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan untuk bantahan yang sama, selepas Adun sebulat suara mengundi untuk melupuskan anjing liar di kawasan majoriti Melayu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mempertahankan rancangan itu dan memberi jaminan bahawa pelupusan dilakukan mengikut prosedur operasi standard dan garis panduan undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS