Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Armizan tak layak cakap soal prinsip, integriti - Umno Sabah
Diterbitkan:  May 18, 2025 10:48 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Pemimpin Umno Sabah mengecam Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali yang mempertikai penggunaan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan dalam pengumuman kerjasama BN dan PH bagi PRN Sabah ke-17.

Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah Rosman Datu Ahir Zaman berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu tidak layak bercakap mengenai prinsip dan integriti.

Menurutnya, ini kerana Armizan dan partinya menumpang legitimasi di atas nama kerjasama yang rapuh dan oportunistik - merujuk kerjasama GRS dengan PH dalam kerajaan negeri.

"Jangan menjadi seperti pepatah semut di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.

"Beliau bercakap seolah-olah jaguh moral, padahal menjadi dalang kepada penduaan standard dalam politik Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosman mendakwa GRS secara konsisten menggunakan jata rasmi Negeri Sabah dalam kenyataan politik yang jelas bersifat partisan sebelum ini.

"Sebelum sibuk menunjuk jari kepada pihak lain, Armizan sepatutnya terlebih dahulu cermin diri,” katanya.

"Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Di mana suara 'kesedaran perundangan' Armizan ketika itu? Diam seribu bahasa?

"Kepura-puraan ini cukup menjijikkan. Jangan berselindung di sebalik topeng kesucian undang-undang, sedangkan tangan sendiri kotor dengan manipulasi simbol rasmi negeri untuk kepentingan politik sempit," tambahnya.

Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali

Armizan sebelum ini berkata kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail berhubung kerjasama mereka menggunakan kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan menimbulkan polemik politik yang tidak membina di Sabah.

"Mereka bebas mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili gabungan parti masing-masing, namun kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan hanya boleh diguna pakai sekiranya pendirian itu mewakili konsensus semua gabungan parti," kata Armizan dipetik Utusan Borneo, semalam.

Susulan pengumuman kerjasama BN dan PH bagi PRN Sabah, Pengerusi GRS Hajiji Noor yang juga ketua menteri berkata pihaknya sedia bergerak solo.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian berkata kerjasama antara PH, BN dan GRS di Sabah amat penting bagi menjamin kestabilan politik peringkat nasional dan negeri.

Pengerusi PH itu berkata kerjasama antara ketiga-tiga pihak masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Romsan menasihatkan Armizan tidak cuba menggunakan alasan “menjaga imej gabungan” bagi mencetuskan keraguan dan kekeliruan.

"Sabah sudah muak dengan permainan dua wajah seperti ini.

"Rakyat bukan lagi mudah diperbodoh dengan kenyataan berselindung kononnya atas nama moral, padahal hanyalah serangan bersifat panik apabila melihat kebangkitan kerjasama utuh antara BN dan PH di bumi Sabah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS