Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kolumnis Malaysiakini jadi saksi PAC kes urus niaga tanah DBKL, k'jaan
Diterbitkan:  May 19, 2025 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini telah menemu bual kolumnis Malaysiakini dan wartawan veteran, R Nadeswaran, berkaitan siasatan ke atas urus niaga tanah oleh kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata Nadeswaran dipanggil sebagai saksi dalam siasatan terhadap urusan pembangunan tanah di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan DBKL.

Turut dipanggil sebagai saksi ialah Yap Yee Vonne, yang merupakan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

“Manakala pada sesi petang PAC akan mengadakan prosiding tindakan susulan perolehan sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan penjelasan dan maklum balas daripada kementerian itu terhadap syor-syor PAC dalam Penyata PAC (DR.4/2025) yang telah dibentangkan di Parlimen pada 6 Mac 2025,” kata Mas Ermieyati.

Dia turut memaklumkan PAC akan meneruskan prosiding tindakan susulan terhadap pengurusan pelaksanaan Projek Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di bawah Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

PAC juga akan mengadakan sesi yang sama berkaitan pengurusan projek bekalan air luar bandar di Sarawak dan Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang dijadual pada 20 Mei ini.

Kata Mas Ermieyati, prosiding tindakan susulan juga akan diadakan pada 21 Mei berkaitan pengurusan akaun tertunggak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di bawah Kementerian Kewangan dan LHDN, serta prosiding mengenai pembangunan tanah yang melibatkan DBKL, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.

Dikenali dengan nama pena “Citizen Nades”, Nadeswaran terkenal dengan kewartawanan penyiasatannya yang lantang menyuarakan isu-isu tanah yang kontroversi, serta menulis banyak kolum di Malaysiakini yang meneliti urus niaga yang didakwa meragukan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS