Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Dulu Rafizi cetus gelombang sokongan, kali ini Nurul Izzah pula’

WAWANCARA | Empat bulan lalu, sebelum pemilihan PKR menjadi hangat, terdapat cadangan dari dalam parti agar dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan, sebagai usaha untuk mengekalkan kestabilan parti menjelang PRU akan datang.

Kini, PKR – parti yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim – berdepan risiko perpecahan susulan pertembungan sengit bagi jawatan timbalan presiden.

Anak Anwar, Nurul Izzah mencabar penyandang jawatan itu, Rafizi Ramli yang telah membuat beberapa kenyataan lantang sepanjang kempen mutakhir ini.

Seperti ramai yang lain dalam parti, Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim pada awalnya menyokong cadangan tersebut, namun kini beralih dengan menyuarakan sokongan kepada Nurul Izzah.

Bagi Adam, gelombang sokongan yang dibawa oleh Nurul Izzah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden kali ini sama seperti gelombang yang pernah dibawa Rafizi pada pemilihan lalu.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai pertembungan dan persaingan dua tokoh PKR itu yang kini mencetus kehangatan dan tumpuan utama dalam menentukan barisan kepimpinan baru parti itu.

Bahkan ketika Presiden PKR Anwar Ibrahim menyarankan agar Rafizi diberi laluan mudah untuk mempertahankan jawatannya, Adam menjelaskan pada awalnya dia turut mendukung saranan itu.

Namun katanya, situasi mulai berubah apabila wujud gelombang sokongan terhadap Nurul Izzah dan pihaknya turut menyatakan sokongan.

"Saya salah seorang yang sokong waktu itu (jawatan timbalan presiden tak dipertandingkan), sebab saya nampak ada sokongan dan kalau betul, saya pun nak sokong. 

“Tiada perkaitan dengan presiden (Anwar), sudah agak terlambat sekarang. Tetapi (naratif) sudah pun dibingkaikan, saya tak tahu kononnya ada nak menjatuhkan Rafizi.

"Saya juga sebahagian yang menyokong keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi. 

"Tetapi sebab kita tak pernah nampak gelombang sebegitu (yang menyokong Nurul Izzah), saya mewakili ramai golongan muda juga dalam parti dan kita rapat dengan Nurul Izzah yang kita lihat sebagai antara yang selalu bantu dan sokong inisiatif AMK. Jadi saya rasa secara semula jadi kebanyakan kami sokongnya," katanya semasa wawancara bersama Malaysiakini di Petaling Jaya, dua hari lalu.

Ada kekuatan tersendiri

Jelasnya, walaupun dengan saranan agar Rafizi tidak dicabar, parti tetap membuka pencalonan untuk jawatan timbalan presiden.

"Kita terima saranan itu, (tapi) kita juga tak kata langsung tidak boleh dipertandingkan.

"Waktu itu kita tahu beberapa orang lain juga ada berhasrat untuk bertanding, cuma tarik diri kemudiannya," katanya lagi.

Pada 1 Mac lalu, Anwar yang menang tanpa dicabar bagi jawatan presiden menyuarakan harapan agar Rafizi diberi laluan mudah untuk menjalankan tugasnya sebagai pemimpin nombor dua dalam PKR.

Bagaimanapun seruan itu tidak menjadi kenyataan apabila Rafizi dicabar Nurul Izzah sekali gus mewujudkan perdebatan hangat khususnya dalam kalangan penyokong PKR.

Sementara itu, bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang pada mulanya mempertimbang untuk bertanding jawatan itu memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Ditanya berkenaan kekuatan dan kelemahan Nurul Izzah dan Rafizi, Adam yang juga ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata kedua-duanya ada kekuatan tersendiri.

"Kedua-duanya ada pendukung masing-masing, ada kekuatan masing-masing dan parti sangat memerlukan pemimpin yang ada sokongan supaya boleh menggerakkan parti.

"Saya tak akan bandingkan apa kelebihan dan kelemahan Nurul Izzah dan Rafizi, saya boleh sebut bahawa kedua-duanya mempunyai pengikut yang sama-sama bersemangat.

"Bukan kata calon lain tak ada (sokongan), tapi jarang kita lihat pesona yang sama dalam parti kita.

"Sewaktu Rafizi kembali aktif dalam pemilihan lepas, dia bawa satu gelombang ke dalam parti. Saya nampak perkara sama dibawa kali ini oleh Nurul Izzah. Itu kekuatannya. Kelemahannya pula masih terlalu awal (untuk diulas), kita bagi peluang dulu kepada mereka," katanya lagi.

Rafizi pertama kali bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada penghujung 2018 tetapi tewas kepada Azmin Ali. Selepas itu, dia berhenti sekejap daripada aktif dalam politik.

Dia membuat kemunculan semula yang mendapat perhatian ramai pada 2022 dan berjaya dipilih sebagai timbalan presiden selepas menang besar ke atas Saifuddin.

Tak akan jadi seperti dulu

Bekas aktivis mahasiswa itu turut percaya pergeseran yang berlaku sepanjang pemilihan kali ini juga tidak akan menimbulkan perpecahan seperti mana yang pernah terjadi.

Katanya, perumpamaan ‘biduk lalu kiambang bertaut’ sentiasa diulang setiap kali PKR mengadakan pemilihan dan parti itu sudah melepasi fasa di mana para anggota parti yakin tiada lagi unsur pengkhianatan.

"Kalau kita bandingkan ketika sebelum Langkah Sheraton, itu jauh berbeza dan waktu itu sangat keras. Pemilihan ada baling kerusi, pecah pintu, bergaduh. Walaupun saya tidak berada dalam parti secara rasmi ketika itu, tapi saya ada di situ.

"Zaman itu sudah berkahir. Sekarang adalah pertembungan adik-beradik, yang bersifat nak bersaing untuk buktikan aku lebih mampu untuk galas tanggungjawab ini.

"Tidak perlu untuk (label) orang itu tidak layak, orang ini pengkhianat, orang ini jahat dalam parti, orang ini dalang itu dan ini. Kita jangan banding perkataan yang digunakan dalam komen-komen (netizen) yang berselindung di sebalik indentiti yang tidak dikenali.

“Biasalah orang nak tambah minyak dalam api," katanya lagi.

Pada kali ini, tambah Adam, pertembungan dan pertelingkahan yang berlaku selepas pencalonan bermula, berbeza dengan sebelum ini apabila keadaan itu tercetus jauh lebih awal.

"Dari sudut hujah yang digunakan pemimpin, kadang-kadang ada kritikan yang pedas, tapi yakinlah ia masih boleh ditaut semula. Dulu pun sama, pemilihan sebelum ini pun boleh tahan keras juga pertembungannya.

"(Kali ini) tidak akan sampai tahap itu (perpecahan), saya tak tahu nak sebut macam mana tetapi saya rasa saya kenal semua orang yang bertanding kali ini. Sebelum ini suasananya berbeza, dua tiga tahun sebelum bertanding sudah bergaduh dan bertengkar,” katanya yang juga timbalan menteri belia dan sukan.

Adam akan berundur sebagai ketua pemuda atas faktor had umur. Pada pemilihan kali ini, dia bertanding bagi merebut kedudukan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Kongres Pemuda dan Wanita PKR akan bermula petang esok. Pemilihan bagi MPP serta kepimpinan sayap parti pula diadakan sehari kemudian, dengan kongres parti turut bermula pada hari sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS