Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ILO: Satu dari empat pekerjaan terdedah transformasi AI
Diterbitkan:  May 21, 2025 9:57 AM
Dikemaskini: 1:57 AM

Satu kajian bersama terbaharu oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Institut Penyelidikan Kebangsaan Poland (NASK) mendapati bahawa satu daripada empat pekerjaan di seluruh dunia berpotensi terdedah kepada kecerdasan buatan generatif (GenAI), namun perubahan yang dijangka berlaku lebih kepada transformasi tugasan berbanding penggantian sepenuhnya.

Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), laporan yang dilancarkan pada Selasa bertajuk “Generative AI and Jobs: A Refined Global Index of Occupational Exposure” itu memperkenalkan penilaian global paling terperinci setakat ini mengenai bagaimana GenAI mungkin membentuk semula dunia pekerjaan.

Indeks itu memberikan gambaran unik dan berlapis tentang bagaimana AI boleh mengubah pekerjaan dan guna tenaga di seluruh negara dengan menggabungkan hampir 30,000 tugasan pekerjaan dengan pengesahan pakar, pemarkahan berasaskan AI dan data mikro yang diselaraskan oleh ILO.

Pawel Gmyrek Penyelidik Kanan ILO dan penulis utama kajian berkata, “kami melangkaui teori untuk membina satu alat yang berpaksikan pekerjaan sebenar. Dengan menggabungkan pandangan manusia, semakan pakar dan model AI generatif, kami mencipta satu kaedah yang boleh diulang guna untuk membantu negara menilai risiko dan bertindak dengan lebih tepat.”

Penemuan utama laporan ini termasuk penciptaan “pendedahan cerun” yang baharu, yang mengelompokkan pekerjaan mengikut tahap pendedahan terhadap GenAI. Ini membantu pembuat dasar membezakan antara pekerjaan yang berisiko tinggi untuk diautomasi sepenuhnya dan pekerjaan yang lebih berkemungkinan mengalami transformasi tugasan.

Sebanyak 25 peratus guna tenaga global berada dalam kategori pekerjaan yang berpotensi terdedah kepada GenAI, dengan peratusan lebih tinggi di negara berpendapatan tinggi (34 peratus).

Pendedahan dalam kalangan wanita juga terus menunjukkan kadar yang lebih tinggi. Di negara berpendapatan tinggi, pekerjaan yang paling berisiko untuk diautomasi menyumbang 9.6 peratus daripada pekerjaan wanita, satu perbezaan ketara berbanding hanya 3.5 peratus bagi lelaki.

Pekerjaan kerani mencatat tahap pendedahan tertinggi berikutan kemampuan GenAI secara teori untuk mengautomasikan banyak tugasan mereka. Namun, keupayaan GenAI yang semakin berkembang turut meningkatkan pendedahan dalam pekerjaan kognitif yang sangat bergantung kepada digital seperti dalam sektor media, perisian dan kewangan.

Automasi pekerjaan secara menyeluruh bagaimanapun masih terhad, kerana banyak tugasan, walaupun dapat dilakukan dengan lebih cekap, masih memerlukan penglibatan manusia. Kajian ini menekankan kemungkinan laluan berbeza bagi pekerjaan yang biasa mengalami transformasi digital pesat seperti pembangun perisian, berbanding pekerjaan yang kurang melibatkan kemahiran digital dan mungkin terkesan secara negatif.

Dasar yang mengarahkan peralihan digital akan menjadi faktor utama dalam menentukan sejauh mana pekerja dapat dikekalkan dalam pekerjaan yang sedang mengalami transformasi akibat AI, serta bagaimana transformasi ini memberi kesan kepada kualiti pekerjaan.

Marek Troszynski, Pakar Kanan di NASK dan seorang daripada pengarang bersama laporan itu, berkata, “indeks ini membantu mengenal pasti yang GenAI berkemungkinan memberi kesan paling besar, agar negara boleh lebih bersedia dan melindungi pekerja. Langkah kami seterusnya ialah menerapkan indeks ini kepada data guna tenaga terperinci dari Poland.”

Kajian ILO-NASK itu menekankan angka yang dikemukakan mencerminkan potensi pendedahan, bukan kehilangan pekerjaan sebenar. Kekangan teknologi, jurang infrastruktur dan kekurangan kemahiran akan menyebabkan pelaksanaan GenAI berbeza mengikut negara dan sektor. Pengarang juga menegaskan bahawa kesan GenAI lebih berkemungkinan mengubah pekerjaan daripada menghapuskannya.

Laporan itu menyeru kerajaan, majikan dan organisasi pekerja untuk menjalankan dialog sosial dan merangka strategi yang proaktif dan inklusif bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti pekerjaan, khususnya dalam sektor yang paling terdedah.

- Bernama-WAM


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS