ULASAN l Hari ini bermulalah Kongres Nasional PKR 2024/2025 yang diadakan di Johor Bahru, Johor yang secara kebetulannya merupakan tempat kelahiran Umno pada 11 Mei 1946.
Secara kebetulan juga, ia diadakan ketika Umno yang kini merupakan anggota kerajaan campuran pimpinan Presiden PKR Anwar Ibrahim baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-79.

Apa maksud tersirat di sebalik pemilihan Johor Bahru tidaklah diketahui akan tetapi mungkin ini juga cara tersirat PKR menunjukkan tanda hormatnya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berasal dari Johor.
Kongres PKR kali ini menjadi hangat kerana terdapat pemilihan untuk memilih kepimpinan parti itu yang kini merupakan tonggak peneraju kerajaan.
Lebih hangat lagi apabila Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli akan dicabar oleh Nurul Izzah Anwar yang merupakan anak kepada presiden parti itu.
Dalam Jelajah Hiruk yang terakhir malam tadi, Rafizi sekali lagi menimbulkan isu nepotisme dalam menyerang pencabarnya.
"Saya kesian pada Izzah sebab dia kena tanggung beban nepotisme sampai bila-bila.

“Orang yang dulu duduk di sekeliling (Mohamed) Azmin (Ali), sekarang jadi kumpulan utama sokong Izzah,” kata menteri ekonomi itu sambil memetik nama bekas timbalan presiden parti itu Azmin yang kini merupakan setiausaha agung Bersatu.
Mengapa tidak persoalkan sebelum ini?
Sekiranya nepotisme merupakan satu masalah yang besar kepada Rafizi, seharusnya ahli Parlimen Pandan itu dan pasukannya sudah lama meninggalkan PKR. Mengapa?
PKR merupakan satu-satunya parti di Malaysia yang meletakkan suami, isteri dan anak sekaligus sebagai calon di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Anwar bertanding di Tambun, Perak, isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dan anaknya Nurul Izzah bertanding di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Anwar dan Dr Wan Azizah menang di kerusi masing-masing akan tetapi Nurul Izzah tewas di kubu kuat bapanya sejak 1982.

Tidakkah Rafizi yang merupakan timbalan presiden merangkap pengarah pilihan raya PKR mempersoalkan tindakan nepotisme ini?
Sementara dalam PKR hari ini sebelum ahli-ahlinya mengundi pada 23 Mei nanti, Anwar merupakan presiden, Dr Wan Azizah merupakan pengerusi Majlis Penasihat dan Nurul Izzah adalah naib presiden. Bukankah ini juga nepotisme?
Ketika Anwar berada dalam penjara dahulu, beliau adalah ketua umum, Dr Wan Azizah presiden dan Nurul Izzah adalah naib presiden PKR. Ini bukan nepotisme?
Selepas 26 tahun usia PKR dan sejak hari pertama ahli-ahli keluarga Anwar terlibat dalam kepimpinan parti, nepotisme tidak seharusnya hanya dibangkitkan semata-mata ketika kedudukan dalam parti dicabar.
Pesan bekas pengasas PKR
Semasa kongres pada 2019, bekas naib presiden dan pengasas PKR Chua Tian Chang pernah memberikan teguran kepada ahli-ahli parti itu kerana dilihat terlalu taksub untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri sehingga melupakan agenda reformasi.
“Saya kecewa dalam meraikan ulang tahun kita pada kongres kali ini, sepatutnya terus memperkukuh agenda perjuangan dan membela rakyat, tetapi sebaliknya menjadi medan untuk mengampu, mengipas secara bergilir-gilir (untuk) Anwar sebagai PM kelapan,” katanya yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.

Ucapan Chua itu menyebabkan beliau “diboo” dan diejek oleh ahli-ahli PKR pada ketika itu yang melayannya seperti “orang jahat” walaupun seringkali keluar masuk lokap dan pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memperjuangkan Anwar.
Chua akhirnya dipecat daripada PKR selepas bertanding sebagai calon bebas pada PRU15, akan tetapi isi ucapannya tidak begitu banyak beza dengan apa yang disampaikan oleh Rafizi dan pasukannya dalam siri Jelajah Hiruk di seluruh negara.
Mungkin kini tiba giliran Rafizi menjadi “orang jahat” dalam PKR dan tidak salah bagi menteri ekonomi itu untuk berkempen mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden.
Akan tetapi “nepotisme” bukanlah satu isu di dalam PKR kerana ia sudah berlaku sejak hari pertama parti itu dilahirkan dan diterima oleh ahli-ahli sepanjang 26 tahun usianya.
AMIN ISKANDAR merupakan hos The Tiger Show Podcast selain pernah bertugas dengan beberapa syarikat media.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
