Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkasa kecam rasuah berleluasa – puji hanya PAS terkecuali
Diterbitkan:  May 21, 2025 12:29 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Pertubuhan hak Melayu, Perkasa, melahirkan kebimbangan terhadap budaya rasuah yang disifatkan sudah menjadi “amalan wajib” dalam kalangan pemimpin politik dan pegawai kerajaan di negara ini.

Presidennya, Syed Hasan Syed Ali berkata, budaya itu bukan sahaja semakin berleluasa, malah telah mengakar dalam sistem pentadbiran, sehingga menyebabkan sesiapa yang enggan terlibat akan dikenakan tindakan.

Syed Hasan Syed Ali

Namun dalam kenyataan yang bernada keras itu, dia tetap memuji PAS kerana dianggapnya sebagai satu-satunya parti yang masih konsisten menolak amalan rasuah.

“(Kita) tak pernah dengar pemimpin-pemimpin PAS dihadapkan ke mahkamah atas kes rasuah melibatkan puluhan juta.

“Sekarang ini, biasa kita dengar bukan saja puluhan juta, malah ratusan juta (dalam kes rasuah),” katanya seperti dipetik oleh Harakah.

Kenyataan Syed Hasan hadir meskipun PAS menerima kritikan kerana menjalin kerjasama politik dengan tokoh-tokoh yang dikaitkan dengan pelbagai skandal.

Ini, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan skandal 1MDB.

SPRM juga sebelum ini pernah membuka siasatan terhadap PAS berhubung dakwaan menerima RM90 juta daripada Umno, yang ketika itu dipimpin Najib, bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14. Bagaimanapun, siasatan itu tidak membawa kepada sebarang pendakwaan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa masyarakat bukan bumiputera sebagai punca utama gejala rasuah. Beliau turut menolak dakwaan terhadap PAS sebagai satu fitnah semata-mata.

Mengulas lanjut, Syed Hasan berkata pegawai-pegawai kerajaan yang menolak amalan rasuah sering menjadi mangsa tindakan dalaman.

“Di Malaysia begitulah. Kalau seorang pegawai enggan terlibat dengan rasuah, dia akan dipindahkan ke jabatan lain – jabatan yang sejuk.

“Kalau kamu penguat kuasa majlis perbandaran, kamu jujur, kamu tak mahu ikut rentak (rasuah), kamu akan disingkirkan.

“Tak kira jabatan mana, kamu takkan ada tempat. Nak naik pangkat pun susah. Masalah ekonomi bumiputera yang semakin parah pun berpunca daripada rasuah,” tegasnya.

Tambahnya, seseorang pemimpin sukar untuk naik tanpa “berkawan” dengan kelompok yang terlibat dalam amalan rasuah.

“Kalau presiden (parti) itu rasuah, semua orang bawah pun akan ikut. Siapa yang rasuah, akan jadi geng mereka.

“Kalau ada yang tak mahu ikut, mereka akan ditentang, digugurkan, dan dituduh macam-macam. Tapi mereka inilah yang berani meluluskan kebenaran merancang dan kelulusan projek. Semuanya di tangan mereka,” katanya.

Dia turut mengulas isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, yang didakwanya menindas penduduk Melayu demi keuntungan pemaju.

“Mereka tahu apabila projek pembaharuan dibuat, penduduk – yang 100 peratus terdiri daripada orang Melayu – hanya akan diberikan 30 peratus daripada keluasan tanah.

“Baki 70 peratus akan dibangunkan sebagai kondominium baharu,” katanya.

Perkasa bersama beberapa NGO Melayu dan Islam dijadualkan mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 24 Mei ini bagi membantah apa yang mereka sifatkan sebagai kegagalan kerajaan mempertahankan kepentingan Melayu-Islam di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS