Mujahid Yusof memberikan jawapan menarik saat diwawancara oleh wartawan The Star pada Oktober 2018 – hampir enam tahun yang lalu.
Soalannya: “Anda berbicara tentang rahmatan lil alamin dan keterangkuman. Adakah anda bercakap tentang Muslim dan juga bukan Muslim?”
Jawapan Mujahid berbunyi, “Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Islam itu Agama Persekutuan, dan artikel yang sama turut menyebut kepercayaan lain bebas diamalkan.
“Kita amalkan kebebasan, dan sebagai seorang Muslim, anda juga harus melindungi kebebasan orang lain. Saya kekal komited dalam melindungi kebebasan kepercayaan lain.”
Jawapan yang kelihatan ringkas ini, sebenarnya penuh dengan keterangan disulami prinsip yang dipegang oleh timbalan presiden Amanah itu dalam mengemudi perjalanan politik beliau selama ini.
Rahmatan lil alamin – satu pendekatan politik kasih sayang yang cuba diterapkan dalam segenap tindak-tanduk politik dan dasar perjuangannya. Mengharmonikan konflik, mencari solusi bersama di samping berdakwah dengan kelembutan dan bijaksana.
Semua keterangkuman ini menzahirkan politik matang untuk kesejahteraan rakyat yang berbilang bangsa.
Apabila isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, Jalan Masjid India meletus baru-baru ini sehingga mengundang perhatian serius daripada perdana menteri, ia tidak hanya membuka mata banyak pihak betapa rapuhnya hubungan antara kaum sekiranya tidak diurus dengan harmoni dan bijaksana.
Pendekatan cermat perdana menteri menyelesaikan masalah tersebut adalah selari dengan konsep rahmatan lil alamin yang menjadi tonggak pendekatan dan perjuangan Amanah selama ini.
Dalam kelembutan ada tegasnya, dalam berkompromi ada prinsipnya, bersatu menolak budaya melampaui batas, menyegarkan pendekatan sederhana dan meraikan perbezaan.
Politik kasih sayang berteraskan rahmatan lil alamin adalah realiti politik masa hadapan yang diidamkan oleh seluruh rakyat, daripada politik idealistik ke politik pragmatik dengan menyusun semula kelas masyarakat berteraskan kepada hakikat insaniah yang menginginkan kasih sayang, keharmonian dan kedamaian.
Kemelut politik yang tidak kunjung padam, berselang-seli dengan isu perkauman dan agama yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, menuntut tidak hanya ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang, bahkan perlunya sebuah model politik baharu yang berpaksikan kepada rahmatan lil alamin.
Model itu hendaklah diserapkan dalam sistem pendidikan sebagai perancangan strategi jangka panjang bagi membentuk politik kenegaraan yang lebih pragmatik dan berdaya saing.
Politik ‘brutal’
Jika dilihat perkembangan politik global yang semakin ‘brutal’ dan saling bermusuhan sehingga mencetuskan peperangan, memaksa kita bersama mencari solusi serta pendekatan politik yang holistik dan diyakini berupaya mencegah pertumpahan darah yang semakin parah.
Parti Amanah sangat konsisten dengan gagasan rahmatan lil alamin sehingga hari ini. Perlu difahami bahawa gagasan tersebut adalah bertunjangkan beberapa aspek penting.
Pertama, menguruskan kepelbagaian secara terbuka - Islam amat menyantuni masyarakat Islam dan bukan Islam. Keterbukaan kita dalam memberi pandangan serta teguran.
Kedua, melihat fikah dalam kerangka yang luas. Menyelami fikah selagi tidak bercanggah dengan syariat. Jangan sempitkan khazanah ilmu selagi ia berlegar sekitar hukum-hakam syariat Islam.
Ketiga, kerangka atau cara kita berfikir perlulah berlandaskan Maqasid al-Syariah. Berfikir dengan cara maqasidiq, yakni berdasarkan matlamat yang suci.
Dan keempat, ikut acuan Malaysia. Gerak kerja kita berasaskan konteks semasa dan ummah di Malaysia. Utamakan Fikah Muwathonah (kewarganegaraan) yang bersandar perlembagaan negara.
Politik dalaman dan global hari ini semakin kompleks, kekerasan tidak akan menyelesaikan masalah, harus kembali kepada fitrah. Ternyata yang inginkan kedamaian dan penghormatan jauh lebih ramai daripada kelompok yang mudah putus asa.
Fitrah yang saya maksudkan adalah kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain dalam menyelesaikan segala persoalan hidup masyarakat.
Hal ini jelas kelihatan pada pendekatan yang ditunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim saat Malaysia terpilih menerajui Kepengerusian Asean dalam menyelesaikan konflik di Myanmar.
Menerusi penglibatan bijak serta berstrategik dengan junta tentera Myanmar dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang mewakili pembangkang, Anwar berjaya membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan berasaskan pendekatan kemanusiaan.
Perkara ini belum pernah dicapai oleh pemimpin Asean sejak rampasan kuasa 2021.
Pendekatan ‘rahmah’ dan rahmatan lil alamin yang ditonjolkan oleh perdana menteri dalam menyelesaikan kemelut politik di rantau ini perlu dicontohi dan dijayakan dengan komprehensif.
Dalam konteks ini Parti Amanah melihat antara tokoh nasional yang berupaya bersama perdana menteri dalam merangka strategi dan memberi pencerahan berhubung gagasan rahmatan lil alamin tidak lain ialah Mujahid, timbalan presiden Amanah.
ZULKIFLI MOHAMED merupakan aktivis Amanah yang aktif di lapangan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
