GLOBAL l Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata Israel "mungkin" telah membunuh pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar dalam satu serangan.
"Kami telah menumpaskan puluhan ribu pengganas, kami menghapuskan pemimpin seperti Deif, Haniyeh, Yahya Sinwar dan nampaknya juga Mohammed Sinwar,” katanya yang dipetik CNN.

Israel menyasarkan Sinwar dalam satu siri serangan besar-besaran ke atas hospital Eropah di Khan Younis minggu lalu. Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan serangan itu dilaporkan telah membunuh 28 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 50 yang lain.
Jika kematian Sinwar disahkan, ia akan menjadi yang terbaru dalam rentetan pembunuhan yang telah memberikan tamparan hebat kepada pempin tertinggi kumpulan itu tetapi masih belum berjaya mematahkan cengkaman kuasa mereka.
Sinwar adalah abang kepada bekas pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, yang dibunuh oleh tentera Israel di selatan Gaza pada Oktober lalu.

Usaha CNN untuk menghubungi pihak Hamas untuk mendapatkan komen masih belum berhasil.
Pada sidang akhbar pertamanya dalam beberapa bulan, Netanyahu juga berikrar bahawa Israel tidak akan menghentikan operasi ketenteraannya yang baru dilancarkan di Gaza.
“Pasukan kami sedang menawan lebih banyak wilayah di Gaza.
“Pada akhir operasi semua kawasan di Semenanjung (Gaza) akan berada di bawah kawalan keselamatan Israel,” katanya.

CNN juga memetik Netanyahu sebagai berkata, bahawa Israel boleh bersetuju dengan gencatan senjata sementara yang termasuk pembebasan tebusan, tetapi penamatan perang hanya akan datang dengan senarai syarat, termasuk demilitarisasi Gaza, penggulingan Hamas, dan pelaksanaan rancangan Amerika Syarikat untuk memindahkan penduduk Palestin di Gaza.
"Mana-mana pihak yang menggesa kami menghentikan perang sebelum matlamat ini tercapai, sebenarnya mahu Hamas terus berkuasa," tambah Netanyahu.
