Inisiatif MyKiosk yang diperkenalkan kerajaan mencetuskan kontroversi beberapa minggu kebelakangan ini, dengan sesetengah pihak membangkitkan kebimbangan mengenai perolehan yang tidak telus dan kios yang tidak digunakan sepenuhnya, selain amaran ia berisiko menjadi projek "gajah putih".
MCA dan beberapa pihak lain menyasarkan kritikan mereka terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang bertanggungjawab dalam projek itu dan secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam pelaksanaannya.
Isu ini menarik perhatian ramai, sekali gus mendorong desakan untuk lebih ketelusan dan akauntabiliti.
Edisi PanduanKini kali ini menelusuri latar belakang projek tersebut serta butirannya.
Apakah itu MyKiosk?
MyKiosk ialah kabin kecil yang berfungsi sebagai kedai dan diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan industri penjaja jalanan, termasuk membantu 'menghalalkan' penjaja yang tidak berlesen.
Fasa pertama kios berkenaan — dinamakan MyKiosk 1.0 — mula dilancarkan secara fizikal pada tahun 2023 dengan kelulusan sebanyak 3,189 unit.
Fasa kedua projek ini pada tahun berikutnya menyaksikan 4,054 kios diluluskan.
Berapakah perbelanjaan kerajaan?
MyKiosk 1.0 menerima peruntukan sebanyak RM50 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan kios terbabit.
Tambahan RM100 juta kemudian disalurkan untuk fasa kedua. Nga dilaporkan berkata bahawa pelaksanaan fasa ketiga tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.

Dana tersebut diagihkan kepada pihak berkuasa tempatan yang memohon untuk menyertai inisiatif kios ini.
Urusan perolehan, termasuk proses sebut harga dan pelantikan kontraktor, dikendalikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan.
Berapakah kos setiap kios?
Menurut Soalan Lazim yang disiarkan di media sosial dan laman web kementerian, setiap kios di bawah fasa pertama projek itu menelan kos sebanyak RM15,000.
Namun, kos ini meningkat kepada RM25,000 bagi setiap unit dalam fasa kedua.
Nga sebelum ini berkata kenaikan kos itu bertujuan untuk menyokong peruntukan tambahan kerajaan.
Dia juga menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan bebas untuk memilih jenis kios yang ingin diperoleh.
Kenapa harga meningkat? Adakah ia wajar?
Ini merupakan antara kritikan utama terhadap projek ini.
MCA mendakwa bahawa tinjauan pasaran dan maklumat daripada pengeluar tempatan menunjukkan kos bagi model yang dinaik taraf sepatutnya kurang daripada RM15,000 seunit.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, menyifatkan projek MyKiosk tersebut sebagai pembaziran dan tidak berkesan, malah mempersoalkan sama ada inisiatif ini hanyalah alasan untuk memperkayakan kroni.

Namun, kementerian itu menjelaskan bahawa peningkatan kos disebabkan oleh penambahbaikan pada unit kios, yang pada asalnya merupakan struktur modular tetap dengan sistem panel solar 300W dan sokongan elektrik asas.
Antara penambahbaikan yang dibuat termasuk reka bentuk yang lebih mesra pengguna, kapasiti kuasa solar 1,000W, sistem elektrik yang lebih baik untuk lampu LED, sistem bateri yang dipertingkatkan, struktur yang diperkukuh serta tingkap hidraulik.
Kementerian menyatakan bahawa penambahbaikan ini dibuat berdasarkan aduan dan maklum balas semasa fasa MyKiosk 1.0.
Saya nampak kios ini, tapi kenapa kosong?
Nga mengakui bahawa tidak semua kios telah digunakan dan sambutannya terhad di sesetengah kawasan.
Namun katanya, pihak berkuasa tempatan yang berjaya memohon dan menerima kios akan dipertanggungjawabkan jika unit itu dibiarkan kosong terlalu lama.
Naib Presiden MCA, Lawrence Low, berkata masalah utama mungkin terletak pada lokasi kios itu sendiri. Katanya, peniaga pasti berminat untuk berniaga sekiranya kios tersebut terletak di kawasan strategik dan mempunyai trafik tinggi yang mesra perniagaan serta menarik untuk peniaga dan pelanggan.
Walaupun terdapat aduan, Nga berkata bahawa setakat 21 Mei, sebanyak 80 peratus MyKiosk telah digunakan.
Berapa kadar sewa untuk peniaga?
Selain tempoh sewa percuma selama enam bulan pertama, Nga berkata kadar sewa dihadkan pada RM10 sehari, dan kementeriannya memberi jaminan bahawa sewa tidak akan melebihi RM300 sebulan.
Jumlah sewa sebenar ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan masing-masing di setiap negeri.
Apa yang berlaku sekarang?
Susulan sindiran Nga yang menjemput Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki "minum teh" di pejabatnya untuk membincangkan dakwaan berkaitan projek MyKiosk tersebut, pemimpin MCA telah membuat laporan kepada SPRM keesokannya bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat projek tersebut.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, menafikan dakwaan bahawa parti itu cuba menggugat kerajaan dengan membangkitkan isu ini — malah dia mengakui bahawa inisiatif itu mempunyai niat baik untuk membantu peniaga kecil dan menangani isu pelesenan.
Namun katanya, memandangkan keberkesanan projek ini menjadi persoalan umum, pihak berkuasa perlu menyiasat sama ada dana awam telah disalah guna atau jika terdapat kelemahan dalam pelaksanaannya.
Dia turut memaklumkan bahawa laporan MCA kepada SPRM disertakan dengan data yang diperoleh daripada “sumber boleh dipercayai”, termasuk laman web kementerian, bagi membantu siasatan.
Walaupun belum pasti tindakan yang akan diambil SPRM terhadap laporan tersebut, Chong memberi amaran jika isu ini dibiarkan berlarutan boleh menjejaskan persepsi awam terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Nga pula menyatakan bahawa kementeriannya telah diarahkan untuk mengenal pasti pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai projek ini, dan laporan akan dibuat kepada pihak polis serta MCMC.
