Peguam yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock hari ini mempersoalkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan siasatan ke atas kematian pembantu Adun DAP itu sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA).
Ramkarpal Singh menegaskan, AGC gagal memaklumkan keputusan tersebut secara langsung kepada keluarga Teoh, sebaliknya ia disampaikan oleh polis.
“Sangat luar biasa (apabila) keputusan AGC untuk mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA disampaikan oleh pihak ketiga dan bukannya AGC sendiri.
"Mengapa peguam negara tidak mengemukakan surat rasmi sendiri, sama ada kepada peguam keluarga atau keluarga Teoh sendiri (untuk) mengesahkan keputusannya?" katanya pada sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Pada 20 Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menulis surat kepada Ramkarpal untuk memaklumkan kepadanya tentang keputusan AGC.
Menurut polis, keputusan tersebut dibuat pada 19 Mei.
Dalam surat itu, polis juga menyatakan bahawa siasatan mereka dijalankan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan berkaitan kurungan yang menyalahi undang-undang.
Ramkarpal juga meyatakan kecurigaan mengenai waktu AGC membuat keputusan NFA iaitu hanya dua hari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung arahan polis agar mereka menyelesaikan siasatan ke atas kematian Teoh.
Katanya, dia menganggap "penyelesaian" yang dijanjikan oleh pihak berkuasa sebelum ini merujuk kepada keputusan NFA yang ditetapkan AGC itu baru-baru ini.
Dia yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor DAP menambah, orang ramai serta keluarga Teoh berhak untuk mengetahui sama ada keputusan AGC itu dibuat bagi mengelakkan potensi tindakan kesan undang-undang, termasuk prosiding menghina atas kegagalan mematuhi perintah mahkamah tinggi.
Pada 21 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis menyelesaikan siasatan terhadap kematian Teoh dalam tempoh enam bulan.
Ketetapan itu dibuat selepas hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa Teoh.
Sambil menggesa AGC menjelaskan alasan di sebalik keputusan NFA tersebut, Ramkarpal berkata keluarga Teoh menunggu butiran tersebut terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya.
"Penjelasan AGC mungkin tertakluk kepada cabaran undang-undang selanjutnya.
"Kami tahu bahawa AGC tidak mempunyai kewajipan untuk mendedahkan alasan mereka, tetapi dalam kes ini saya menggesa peguam negara untuk berbuat demikian memandangkan bagaimana perkara ini telah berterusan sejak 2019..
"Kecurigaan akan kekal sehinggalah AGC menjelaskan keadaan," tambahnya.
