Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Beng Hock: Bukti tak cukup untuk dakwa sesiapa, kata AGC
Diterbitkan:  May 22, 2025 6:02 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa siasatan polis terhadap kematian Teoh Beng Hock tidak menemui sebarang bukti yang mencukupi untuk membuktikan salah laku oleh mana-mana individu.

Atas sebab itu, kata pejabat itu, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

“Polis Diraja Malaysia telah merujuk kertas siasatan berhubung dengan kematian Teoh Beng Hock yang telah ditemui meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di bahagian luar koridor Tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor kepada Jabatan Peguam Negara.


Baca:
Apa nasib kes Beng Hock di bawah kerajaan PH?
10 tahun kes Beng Hock: 5 misteri belum dirungkai


“Jabatan ini telah meneliti dan mengkaji keseluruhan kertas siasatan yang dikemukakan. Hasil penelitian terhadap keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang.

“Oleh itu, arahan yang diberikan adalah supaya tiada tindakan lanjut (No Further Action) diambil berhubung dengan kertas siasatan ini,” kata AGC dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan ringkas itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap kritikan pihak berkuasa yang didakwa menutup siasatan kes kematian Teoh tanpa sebarang hasil yang bermakna.

Pada tahun 2009, Teoh, yang ketika itu merupakan pembantu kepada Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang ketika itu beribu pejabat di Plaza Masalam, Shah Alam.

Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun 2011 memutuskan bahawa Teoh didorong untuk membunuh diri akibat kaedah soal siasat yang agresif. Namun begitu, pada tahun 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematiannya berpunca atau dipercepatkan oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai-pegawai SPRM.

Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis untuk menyelesaikan siasatan berhubung kematiannya dalam tempoh enam bulan, selepas hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh ibu bapa Teoh.

Keluarga Teoh menuduh pihak polis menumpukan siasatan terhadap mereka, berbanding menyiasat pegawai SPRM yang terlibat dalam kematian Teoh.

Bagaimanapun, pihak polis mendakwa mereka terhalang dalam siasatan dan berdepan dengan bukti yang terhad, di samping terdapat saksi-saksi yang enggan tampil memberi keterangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS