Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda DAP cabar MCA bawa isu MyKiosk dalam mesyuarat PBT

Pemuda DAP (DAPSY) hari ini mencabar MCA supaya membawa isu MyKiosk ke mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada akhir bulan ini jika mereka benar-benar memiliki bukti berlakunya penyelewengan dalam pelaksanaan projek tersebut.

Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Lim Chun Weng, berkata dakwaan yang dilemparkan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, merupakan satu cubaan pembunuhan watak yang "jijik" serta tidak beretika.

“Kita sedia maklum bahawa penghujung bulan merupakan waktu mesyuarat penuh bagi PBT.

"Justeru, kami mencabar Pemuda dan ahli majlis (PBT daripada) MCA supaya membawa isu ini secara rasmi dan menyatakan secara terbuka jika benar berlaku penyelewengan dalam proses sebut harga.

“Jika mereka benar-benar mempunyai bukti, cabarlah exco kerajaan tempatan juga,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Lim berkata, walaupun pelbagai penjelasan diberikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pemimpin DAP, MCA dilihat masih memilih untuk terus menyebarkan "fitnah".

Lim Chun Weng

“Mereka langsung tidak mengendahkan penjelasan yang telah diberi, sebaliknya terus menabur fitnah secara terbuka.

"Lebih membimbangkan, mereka cuba memberi gambaran bahawa Nga terbabit dalam amalan rasuah. Ini adalah cubaan pembunuhan watak yang sangat jijik dan tidak beretika,” katanya.

Dakwa Lim, apa yang dilakukan oleh MCA sekarang menunjukkan niat politik mereka yang jelas berusaha untuk menggagalkan kejayaan kerajaan perpaduan.

Katanya lagi, MCA sedar bahawa jika model pentadbiran kerajaan perpaduan berjaya dan diterima rakyat, parti itu mungkin hanya mampu mempertahankan dua kerusi parlimen yang mereka wakili sekarang apabila PRU diadakan.

Untuk itu dakwa Lim MCA memilih taktik sabotaj politik demi kelangsungan parti dan bukannya untuk rakyat.

Semua tanggungjawab PBT

Semalam Pemuda MCA memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku ketidakwajaran dalam pelaksanaan projek MyKiosk yang dikendalikan bawah KPKT.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, mengetuai penghantaran laporan itu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bersama beberapa wakil Pemuda dan Beliawanis MCA.

Menurut Chong, laporan itu dibuat bagi menggesa SPRM membuat siasatan menyeluruh terhadap projek berkenaan apabila ia didakwa mencetuskan persoalan awam mengenai ketelusan dan tatakelola pelaksanaannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan, Ong Chun Wei, pula menolak dakwaan MCA bahawa MyKiosk merupakan projek ‘gajah putih’ malah menegaskan pelaksanaannya adalah tanggungjawab penuh PBT.

“Program MyKiosk merupakan dasar kerajaan pusat, manakala pelaksanaan dilakukan sepenuhnya oleh kerajaan tempatan atau PBT.

"Dalam erti kata lain, PBT bertanggungjawab terhadap keseluruhan proses daripada permohonan, penilaian, pembinaan hinggalah penyewaan kios tersebut," katanya.

Ong Chun Wei

Ong turut menyifatkan tindakan MCA dalam isu berkenaan sebagai usaha mengelirukan rakyat, malah menganggap parti tersebut sebagai musuh dalam selimut.

“Ini bukan kali pertama khususnya Pemuda MCA merosakkan nama baik kerajaan tempatan.

"Kita melihat sifat mereka ini sebagai musuh dalam selimut dan kami membongkarkan pembohongan ini supaya orang awam tidak keliru lagi,” katanya.

Inisiatif MyKiosk diperkenalkan KPKT mencetuskan kontroversi beberapa minggu kebelakangan ini dengan sesetengah pihak membangkitkan kebimbangan mengenai perolehan yang tidak telus dan kios yang tidak digunakan sepenuhnya.

MCA dan beberapa pihak lain menyasarkan kritikan mereka terhadap Nga yang secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam pelaksanaannya.

Jason Ng

Ketua Biro Dasar Awam DAPSY, Jason Ng Thien Yeong, turut mempersoalkan MCA yang dianggapnya cuma membangkitkan isu dasar MyKiosk sekarang sedangkan inisiatif itu dimulakan sejak sebelum PRU ke-15 diadakan.

Kata Ng, dasar MyKiosk dibentuk dan sesi libat urus diadakan bersama semua PBT sejak Ogos 2022 dan ketika itu MCA memiliki wakil dalam kabinet - yang diketuai Ismail Sabri Yaakob.

Bantahan MCA, kata Ng, tidak kedengaran sehingga sekarang apabila kerajaan perpaduan dibentuk.

"Ini juga merupakan penghinaan kepada penjawat awam yang menggubal dasar ini serta penjaja kecil yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS