ULASAN | Bahang pemilihan PKR sedang mencuri perhatian umum. Tumpuan terhala kepada perebutan jawatan timbalan presiden mencetuskan suatu gempa politik.

Ia menyaksikan pertarungan simbolik antara kumpulan yang ingin meneruskan legasi, dan satu lagi reformis yang mahu mengekalkan idealisme perjuangan asal.

PKR kini berada di titik perubahan yang signifikan dalam sejarah penubuhannya. Mereka dikritik hebat kerana dilihat menyimpang daripada semangat Reformasi 98 yang diperjuangkan.

Justeru, PKR kini berada di persimpangan kritikal. Bukan saja usaha untuk mengukuhkan parti masih kabur, malah cabaran mendepani peralihan kuasa dalaman bakal menentukan hala tuju parti pasca Anwar Ibrahim masih belum jelas.

Perubahan dan penggiliran kuasa sesebuah parti tidak dapat dilelak. Sama ada lambat atau cepat, suka atau tidak, anggota dan kepimpinan mesti menghadapinya.

Anwar tidak akan berkuasa selamanya ke atas parti.

Meskipun gelanggang pertandingan di antara Nurul Izzah dengan Rafizi Ramli sudah cukup menggegarkan negara, hakikatnya ia berpusat kepada isu mempertahankan legasi yang telah lama ditanam Anwar.

Maksudnya, Rafizi bukan hanya berdepan Nurul Izzah, bahkan sedang menandingi dan mencabar pengaruh Anwar. Ia adalah perang dingin yang sedang melanda keluarga PKR sekarang.

Dalam konteks ini, kita turut boleh memahami perang dan pergolakan dalaman PKR yang sedang berlaku melalui konsep ‘Perangkap Thucydides’ yang berasal dari sejarah politik antarabangsa.

Namun menurut hemat penulis ia relevan diaplikasi kepada politik dalaman sesebuah parti seperti PKR.

Pesaing, pencabar baru

Perangkap Thucydides ialah istilah yang merujuk kepada ketegangan dan potensi konflik yang tercetus apabila kuasa baru yang sedang meningkat naik mencabar kedudukan kuasa lama yang established.

Konsep ini diambil daripada latar sejarah Perang Peloponnesia di antara Athens dan Sparta. Kebangkitan Athens mengakibatkan ketakutan dan tindakan agresif daripada Sparta yang akhirnya membawa kepada permusuhan tegang kedua-dua belah pihak.

Kebimbangan sesuatu pihak yang sedang berkuasa sekarang melihat terdapatnya satu lagi kuasa berbeza sedang mengancam kepentingannya.

Walaupun Perangkap Thucydides berasal daripada pendekatan ilmu hubungan antarabangsa, konsep realis politik ini boleh digunakan secara metafora (perlambangan) untuk memahami konflik kuasa dalaman PKR.

Dalam hubungan ini, kuasa lama merujuk kepada kepimpinan Anwar dan lingkaran tradisionalnya, manakala kuasa baru boleh dilihat pada Rafizi yang muncul sebagai pesaing dan pencabar baru yang lebih radikal menuntut perjuangan reformasi dikembalikan.

Salah satu faktor utama yang memperkukuh ketegangan ini ialah perbezaan latar belakang dan jaringan sokongan antara Anwar dan Rafizi.

Anwar merupakan aktor politik veteran, memiliki sejarah panjang bermula daripada gerakan Islam iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada awal 1970-an.

Jaringan itu membentuk asas sokongan kepada Anwar yang berteraskan nilai Islamik, memelihara budaya politik Melayu dan kepatuhan kepada hierarki.

Lagi pula, pengalaman Anwar dalam Umno sebelum 1999 turut membentuk kerangka pemikiran dan keperibadiannya yang lebih konservatif bagi memelihara kepentingan sistem dan kestabilan politik. Maka penekanan tinggi diberikan dalam hal ini.

Jaringan Anwar ini membolehkan dia membina pertalian dengan golongan elit politik dan institusi agama yang menjadi pangkalan kuasa penting dalam konteks Malaysia yang beragam.

Berani dedah skandal besar

Anwar lebih cenderung dan mahir merundingkan kuasa di peringkat tertinggi, termasuk dengan ahli politik veteran, kelas korporat, institusi rasmi negara dan jaringan di peringkat global.

Pendekatan ini sering disifatkan sebagai fokus kepada gaya politik elit yang sedang berusaha menyeimbangkan kepentingan kuasanya dan kestabilan negara.

Rafizi pula muncul dari latar belakang dan generasi yang berbeza.

Jurang generasi di antara Anwar dan Rafizi menyerlahkan perbezaan cara bertindak kedua-dua aktor utama PKR kali ini.

Tidak seperti Anwar, Rafizi tidak memiliki jaringan luas berasaskan gerakan Islam atau politik tradisional.

Sebaliknya, Rafizi membina pengaruh dan mempromosi diri melalui keupayaan teknikal, budaya kerja teknokrat, pembentangan analisis data, mempopularkan budaya debat dan keberanian mendedahkan skandal-skandal besar (misalnya 1MDB dan NFC) yang menggugat kepentingan elit dan penguasa.

Bagaimanapun, pendekatan Rafizi yang begitu berterus terang, berjaya menggemblengkan platform media sosial serta menggerakkan kempen kesedaran rakyat dikira lebih mendekat dan memikat cara fikir generasi milineal dan Gen Z.

Rafizi kelihatan mewakili generasi muda yang rebellious apabila menuntut perubahan segera dalam budaya dalaman parti dan pentadbiran kerajaan. Ia berbeza daripada gaya kompromi, bertolak ansur dan perundingan berhati-hati dilakukan Anwar.

Tidak hairan mengapa Rafizi menekankan reformasi yang lebih tegas, khususnya kepada kelompok pejuang reformis di bawah yang menginginkan politik kekal berprinsip dan semangat asal Reformasi 98 terus menyala.

Pertembungan Anwar-Rafizi bukanlah dalam bentuk ‘perang yang nyata’ dan berdepan, sebaliknya Nurul Izzah adalah watak yang ditugaskan ‘mewakili Anwar’ sedang bertempur hebat merebut jawatan nombor dua parti.

Jawatan strategik nanti akan berperanan penting sebagai pengarah pilihan raya parti, sekali gus bertindak sebagai panglima perang.

Anwar dikatakan sebagai institusi parti telah merencana strategi dengan ‘menghantar’ Nurul Izzah untuk melemahkan pengaruh Rafizi. Ini bukanlah satu rahsia, umum mengetahuinya.

Malah ramalan menyifatkan PKR sedang mempersiapkan calon perdana menteri wanita pertama untuk masa depan.

Ancaman status quo

Secara tersiratnya, konflik antara Anwar dan Rafizi sebenarnya melambangkan pertembungan dua gaya kepimpinan yang berbeza: di satu pihak untuk mewariskan legasi, di satu pihak pula gelombang sokongan yang semakin menggelegak.

Pendekatan sebahagian daripada kem Anwar disifatkan semakin longgar, tidak sepertimana ketika dia menjadi pembangkang.

Kesanggupan untuk berkompromi dengan golongan elit yang terpalit dengan skandal rasuah dan isu integriti telah mengubah ketegasan PKR sebelum ini kepada politik yang bercirikan sesumpah.

Pendirian yang tidak konsisten dianggap memudarkan perjuangan Reformasi.

Pendekatan Rafizi pula disifatkan lebih objektif, berasaskan reformasi segera serta penglibatan rakyat secara langsung. Rafizi mahu memecahkan budaya politik lama yang dianggap memperlahankan kemajuan parti dan negara.

Pendekatan dia menentang keras gaya elitis seperti budaya bermewah-mewahan, menjadikan wang sebagai sumber sokongan serta menormalkan politik penaungan.

Perbezaan ini bukan sahaja mencetuskan pertembungan antara pendekatan, tetapi juga persoalan legitimasi kuasa dalaman parti.

Rafizi dengan kelantangannya sering dilihat sebagai ancaman kepada status quo yang dikawal oleh Anwar dan pasukannya.

Sebaliknya bagi Rafizi, gaya Anwar kini dianggap terlalu ‘menjaga hati pihak tertentu’ (banyak berkompromi), tidak tegas dan kurang responsif kepada keperluan politik masa kini.

Satu dimensi yang mempengaruhi perang dingin dalam rumah tangga PKR sekarang ialah kemungkinan ini merupakan penggal terakhir Anwar sebagai presiden parti.

Kesedaran ini menimbulkan kebimbangan dan tekanan mahu memastikan legasi Anwar terus terpelihara dan berkesinambungan dalam parti.

Anwar yang berasal dari lingkungan politik konservatif mungkin lebih cenderung menentukan peralihan kuasa secara teratur. Ini menyebabkan dia cenderung mengekalkan lingkungan sokongan yang berbasis agama dan elit politik.

Dianggap pragmatik, pelindung nilai

Pada masa sama dia mahu menahan perubahan drastik yang boleh menggugat kelangsungannya dalam jangka masa panjang.

Dalam konteks ini, Perangkap Thucydides berlaku apabila Rafizi - sebagai kuasa baru yang sedang meningkat - dipandang sebagai ancaman oleh Anwar dan kelompok lama yang menguasai parti.

Psikologi kebimbangan terhadap kehilangan kuasa dan pengaruh menimbulkan persaingan ketara secara tak langsung.

Ia bukan sekadar kerisauan kepada kehilangan kuasa, malah terdapat kebimbangan legasi yang telah lama terinstitusi dalam parti akan digantikan dengan yang baru.

Sejak ditubuhkan, PKR itu adalah Anwar, dan Anwar adalah PKR.

Sepanjang 26 tahun sejarah parti, jawatan nombor satu hanya dikuasai Anwar dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ia tidak pernah terusik dan tidak pernah tercabar.

Walaupun terdapat pihak yang mempolemikkan isu nepotisme, namun ia bukanlah perkara yang unik dan asing dalam konteks parti politik di Malaysia.

Fenomena ini turut berlaku dalam kepimpinan utama di peringkat antarabangsa seperti keluarga Nehru dan Gandhi di India, keluarga Marcos dan Aquino (Filipina), keluarga Lee (Singaura), keluarga Sukarno (Indonesia)dan keluarga Clinton serta Bush (AS).

Pemusatan kuasa dalam kalangan keluarga kecil penguasa bukanlah dianggap isu oleh kebanyakan anggota PKR.

Sejak hari pertama parti itu diasaskan sehinggalah sekarang unsur politik kekerabatan memang sesuatu yang semula jadi dan sebati sifatnya.

Namun, fakta bahawa kuasa hanya berlegar antara Anwar dan Wan Azizah adalah suatu yang real, malah boleh dikritik!

Bagi anggota parti yang menyokong kem Nurul Izzah, Anwar dianggap sebagai pragmatik dan pelindung kepada nilai tradisi sepanjang sejarah perjuangan PKR.

DNA PKR yang berjaya menghimpun dan meraikan anggota daripada pelbagai jalur pemikiran (misalnya Islamis, sosialis, aktivis NGO hak asasi dan bekas pemimpin Umno) antara faktor penonjolan kuasa Anwar.

Dari sudut ini, kelebihan memiliki jaringan dalam dan antarabangsa membuatkan Anwar dan Nurul Izzah sukar ditandingi oleh Rafizi.

Pun begitu Nurul Izzah tidak boleh terlepas daripada bayangan Anwar. Ia meletakkannya pada kedudukan sedikit selesa untuk menaikkan graf sokongan.

Dalam hubungan ini, Anwar mungkin berasa keperluan mempertahankan legasi menerusi puteri sulungnya itu merupakan matlamat utama.

Sebaliknya inspirasi yang dikemukakan Rafizi tampak bertentangan dengan pendekatan dibawa Anwar yang akhirnya memberi cabaran sengit kepada kepentingan politik Anwar.

Kempen Rafizi yang agresif menunjukkan sikapnya yang tidak mudah menyerah. Serangan yang bertubi-tubi dan cabaran debat dibuat Rafizi terhadap pasukan Nurul Izzah tidak mampu disahut, sekali gus menyuntik motivasi puak mereka.

Kempen Damai sedikit sebanyak menenggelamkan reputasi dan publisiti Nurul Izzah meskipun dia merupakan calon favourite untuk menang.

Malahan orang di luar parti lebih mengikuti jelajah dan kempen Rafizi secara langsung, antara lain kerana kelebihannya sebagai pemidato yang baik.

Baik Nurul Izzah mahupun Rafizi, kedua-duanya adalah tokoh muda yang futuristik. Setiap seorang daripada mereka ada kekuatan tersendiri.

Sejarah kemampuan Nurul Izzah mengalahkan Ketua Wanita Umno Malaysia, Shahrizat Jalil, dan tokoh korporat ternama Raja Nong Chik, di parlimen Lembah Pantai antara jejak rekod yang signifikan dalam sejarah pilihan raya.

Tak boleh hilang bakat besar

Tidak kurang pentingnya ialah peranan Rafizi menubuhkan gabungan PH yang akhirnya membawa kemenangan pertama kali parti pembangkang pada Mei 2018. Ia adalah detik besar dalam catatan sejarah politik Malaysia.

Kelantangan Rafizi dan pengalaman aktivisme pada Nurul Izzah seharusnya menjadi aset bersama untuk membangun masa depan PKR yang lebih relevan. Perbezaan pendekatan bukan sumber konflik yang boleh merosakkan.

Sekiranya ketegangan ini tidak diuruskan dengan berhikmah, risiko perpecahan dalaman akan menjadi ketara.

Sejarah PKR memaparkan bagaimana krisis dalaman - seperti pemecatan Azmin Ali pada 2020 - memberi kesan negatif terhadap parti.

Ini menggambarkan bahawa kegagalan mengurus perubahan kuasa boleh mencetus kepada keruntuhan ekosistem parti.

Perlu diingatkan, PKR tidak boleh lagi kehilangan bakat besar dari parti itu.

Bagi PKR, cabaran utama kini ialah menguruskan peralihan kuasa secara strategik dan teratur agar pihak Anwar dan Rafizi dapat berkolaborasi untuk mereformasi negara.

PKR tidak boleh terperangkap dalam budaya politik lama yang menumpukan perebutan kuasa fraksi dan kepuakan.

Sebaliknya, ia harus mengangkat gaya kepimpinan baru yang menyatukan, responsif kepada perubahan zaman dan - paling mustahak - tidak menyisihkan mana-mana kumpulan.


MOHD AZIZI JAEH dan MUHAMMAD HELMI OTHMAN ialah pemerhati politik yang memiliki lulusan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS