Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Usia bersara 65 tahun untuk menteri, ahli politik juga

ULASAN | Cadangan peribadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said, untuk menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Memang benar ada ramai individu yang berusia antara 60 hingga 65 tahun masih mempunyai tenaga, keupayaan mental, dan kemahiran untuk terus menyumbang kepada tenaga kerja serta ekonomi.

Namun, daripada hanya menumpukan kepada golongan pekerja, saya mencadangkan agar had umur persaraan turut dikenakan ke atas ahli politik.

Takat 65 tahun - seperti yang dicadangkan oleh Azalina - adalah umur yang sesuai untuk mengehadkan penglibatan ahli politik sebagai menteri dan ahli parlimen.

Langkah ini boleh membawa beberapa manfaat.

Pertama, ia dapat memastikan ahli politik masih berada dalam keadaan kesihatan yang optimum, sama ada dari segi mental mahupun fizikal.

Cadangan ini bukanlah bermaksud bahawa semua orang yang berusia lebih 65 tahun sudah nyanyuk atau tidak sihat. Ada ramai orang yang berusia sebegitu bahkan lebih tajam pemikiran dan cergas berbanding golongan muda.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa prestasi seseorang biasanya akan menurun selaras dengan pertambahan usia.

Kita harus berusaha untuk mengelakkan situasi seperti di AS apabila Joe Biden — yang mengalami kemerosotan daya ingatan — enggan berundur daripada persaingan pemilihan presiden 2024 sehinggalah dia dipaksa untuk undur.

Kedua, ia membantu memperbaharui dan meremajakan landskap politik.

Had umur persaraan secara mandatori bermakna kita tidak akan terus terikat dengan ahli politik yang sama selama berdekad-dekad.

Ini mendorong pemimpin untuk melatih pengganti — atau sekurang-kurangnya proksi — dan bukan merancang untuk terus memegang kuasa dalam jangka masa panjang.

Manfaat lain ialah kemungkinan berkurangnya pilihan raya kecil yang tercetus akibat kematian mengejut ahli parlimen.

Kekurangannya ialah, kita mungkin kehilangan tokoh-tokoh luar biasa yang mempunyai kebijaksanaan, pengalaman, dan integriti yang tinggi.

Namun, individu seperti itu masih boleh berkhidmat dan berperanan dalam kapasiti lain seperti sebagai penasihat, dan tanpa perlu memegang kuasa secara langsung.

Saya mencadangkan supaya langkah ini mula dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada 2035.

Ini akan memberi peluang kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim — yang telah kehilangan banyak tahun hayatnya kerana dipenjarakan — untuk merealisasikan impiannya memimpin kerajaan.

Namun dia sepatutnya menjadi perdana menteri terakhir yang berusia lebih 65 tahun.


ZIKRI KAMARULZAMAN ialah anggota sidang redaksi Malaysiakini.

Bagaimanapun tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS