Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib fail permohonan hina mahkamah terhadap bekas AG
Diterbitkan:  May 23, 2025 9:52 AM
Dikemaskini: 5:14 AM

Bekas perdana menteri, Najib Razak memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas peguam negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Ia berikutan kegagalan Terrirudin pada 2024 mendedahkan kewujudan titah adendum agar Najib menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah.

Dalam satu kenyataan, peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, mereka memfailkan permohonan tersebut pada Rabu lalu selepas menerima arahan daripada bekas perdana menteri itu.

Shafee berkata, berdasarkan salinan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 dan surat rasmi dari Pejabat Sultan Pahang pada bulan yang sama, Terrirudin ketika itu mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Katanya, dokumen-dokumen tersebut bukan sahaja mengesahkan kewujudan titah adendum dan perintah tahanan di rumah, malah menunjukkan bahawa titah itu ditujukan secara langsung kepada Terrirudin, dalam kapasitinya sebagai peguam negara, untuk melaksanakan titah tersebut.

Namun kata Shafee, Terrirudin telah mengarahkan pegawai-pegawainya supaya mengelirukan Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan untuk memulakan semakan kehakiman dengan menyatakan bahawa dakwaan Najib mengenai kewujudan titah adendum itu hanyalah satu spekulasi, bersifat “fishing expedition” dan berasaskan keterangan dengar cakap.

"Anak guam kami berpendapat bahawa sebagai seorang penjawat awam, bekas Peguam Negara mempunyai kewajipan terus-terang (duty of candour) kepada Mahkamah. Prinsip perundangan Malaysia dan antarabangsa, termasuk keputusan-keputusan terkini Mahkamah Persekutuan, jelas menyatakan bahawa Kerajaan wajib mengemukakan semua fakta (dan dokumen) yang relevan kepada Mahkamah dalam sebarang prosiding semakan kehakiman.

"Kegagalan sengaja untuk berbuat demikian akan menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan malah merupakan satu halangan terhadap keadilan itu sendiri.

"Anak guam kami percaya bahawa dengan memilih untuk mengelirukan Mahkamah Tinggi, bekas Peguam Negara telah mencemarkan nama baik institusi kehakiman dan tindakan tersebut wajar dikenakan hukuman yang serius oleh Mahkamah,” kata Shafee.

Titah adendum yang dikeluarkan pada 29 Januari tahun lepas membenarkan Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara, untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.

Terrirudin adalah peguam negara ketika Lembaga Pengampunan bersidang, yang memberikan pengurangan hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadap Najib.

Dia digantikan oleh Dusuki Mokhtar pada November tahun lepas sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Titah tambahan itu dilampirkan bersama titah diraja yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri itu kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, berkaitan salahguna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib kini bergantung kepada kewujudan titah tambahan tersebut dalam usahanya di mahkamah sivil untuk memaksa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara melaksanakan perintah tahanan rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS