Ahli Parlimen DAP, Chow Yu Hui (Raub) dan Tan Hong Pin (Bakri), melahirkan rasa terkejut dan tidak berpuas hati terhadap keputusan polis mengklasifikasikan kes kematian Teoh Beng Hock sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA).
Dalam satu kenyataan bersama semalam, mereka menuntut agar pihak polis mendedahkan butiran penuh siasatan serta memberi penjelasan kepada rakyat mengapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam kes ini tidak dikenakan sebarang tindakan.
Chow mempersoalkan sama ada siasatan yang dijalankan benar-benar mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun 2014 yang memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh “individu yang tidak dikenali” dan wajar disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Namun begitu, polis masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 342 bagi kesalahan kurungan salah, yang disifatkan Chow sebagai satu kesilapan besar.
Chow menuntut penjelasan apakah keputusan itu dibuat akibat kelemahan siasatan atau sengaja mahu lari daripada tanggungjawab.

“Teoh Beng Hock meninggal dunia ketika dalam tahanan pada 16 Julai 2009 — sudah 16 tahun berlalu. Sebuah Suruhanjaya Diraja telah ditubuhkan, dan mahkamah telah memutuskan bahawa kematiannya melibatkan unsur pembunuhan.
"Walaupun Mahkamah Tinggi mengarahkan kes dibuka semula dalam tempoh enam bulan bermula November 2024, pihak polis sekali lagi memilih untuk menutup kes dengan keputusan NFA.
“Ini merupakan tamparan hebat terhadap integriti kehakiman dan satu pengkhianatan terhadap keluarga Teoh dan juga rakyat,” tambahnya.
Chow turut memaklumkan bahawa keluarga Teoh telah bertemu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 1 Ogos 2024 dan menerima jaminan bahawa kes tersebut akan disiasat semula sebagai kes bunuh, serta pakar antarabangsa akan dibawa masuk.
Namun sehingga kini, komitmen tersebut masih belum ditunaikan.
Katanya, pihak polis bukan sahaja gagal menjalankan siasatan semula secara menyeluruh, malah tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai SPRM yang enggan memberi kerjasama.
“Bagaimana kerajaan mahu rakyat percaya kepada reformasi yang dijanjikan di bawah agenda ‘Malaysia Madani’ jika budaya tidak bertanggungjawab terus berleluasa?” soal Chow.

Sementara itu, Tan Hong Pin berkata keputusan NFA ini memberi kesan emosi yang mendalam kepada keluarga Teoh dan menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.
Dia menegaskan pentingnya kerajaan menunaikan janji untuk melaksanakan keadilan dan ketelusan.
“Rakyat mengundi untuk perubahan demi menamatkan era penyalahgunaan kuasa dan impuniti, bukan untuk menyaksikan ketidakadilan yang sama dalam bentuk baru,” katanya.
“Lebih mengecewakan, beberapa pegawai SPRM yang terlibat dalam soal siasat Teoh tidak dikenakan tindakan malah ada yang dinaikkan pangkat.
“Ketiadaan akauntabiliti ini hanya menyuburkan budaya penyalahgunaan kuasa dan melemahkan kepercayaan terhadap institusi. Jika kes Teoh terus tergantung, lebih ramai mangsa yang tidak bersalah mungkin akan terkorban dalam sistem yang pincang ini,” katanya.
Chow dan Tan menggesa tindakan segera berikut diambil:
- PDRM mesti serta-merta mendedahkan laporan penuh siasatan, menjelaskan penyimpangan daripada keputusan mahkamah, dan menyatakan jika terdapat kegagalan pematuhan oleh mana-mana pegawai.
- Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menjelaskan mengapa ia menerima syor NFA dan menyatakan sama ada siasatan masih boleh dibuka semula.
- Kerajaan mesti menunaikan janji untuk melantik penyiasat bebas atau antarabangsa bagi menjamin keadilan untuk Teoh Beng Hock dan memulihkan kepercayaan terhadap keluhuran undang-undang.
