Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, menghantar surat rasmi kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bagi meminta pecahan terperinci mengenai bilangan pelajar India yang memohon serta yang ditawarkan tempat dalam program matrikulasi tahun ini.
Menurut sumber, permintaan itu dilihat sebagai “ujian litmus” utama pertama buat calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang sebelum ini secara terbuka berjanji memperjuangkan hak masyarakat India di Malaysia.
"Dia berikrar untuk memperbetulkan isu-isu lama yang berlarutan.
“Isu matrikulasi ini adalah peluang penting untuk membuktikan bahawa kata-katanya bukan sekadar retorik," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Surat yang dihantar oleh Saravanan itu dibuat selepas MIC menerima banyak aduan daripada pelajar India berhubung permohonan matrikulasi mereka yang ditolak.
"Tiada penerangan yang jelas mengenai program matrikulasi – khususnya berapa banyak tempat ditawarkan, berapa ramai pelajar diterima, dan berapa banyak tawaran ditolak.
“Ketiadaan ketelusan ini telah menyebabkan pelbagai aduan daripada masyarakat India,” tambah sumber berkenaan.
Sumber itu turut menegaskan bahawa kebanyakan pelajar terbabit berasal daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), dan pendidikan merupakan satu-satunya jalan keluar mereka daripada kemiskinan.
“Situasi ini mencerminkan kebimbangan masyarakat terhadap kurangnya ketelusan dari pihak kementerian berkaitan,” katanya lagi.
Surat berkenaan yang dilihat oleh Malaysiakini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya tengah hari tadi.
Dalam surat tersebut, Saravanan mengingatkan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak, pernah mengumumkan penambahan 700 slot matrikulasi untuk pelajar India pada 2018, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,200 tempat.
“Ramai pelajar datang kepada kami dan menghubungi kami untuk menyuarakan kekecewaan mereka apabila permohonan mereka tidak berjaya,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S Subramaniam, mempertikaikan kenyataan Nurul Izzah mengenai pendirian PKR yang didakwa mahu mendesak kerajaan membela masyarakat India.
“Kenyataan Nurul sangat melucukan.
“Dia kata PKR akan tekan kerajaan. Nurul, ayah kamu ialah Presiden PKR dan juga Perdana Menteri Malaysia,” katanya sinis.
