Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM: Beri pencen pada warga emas, bukan lanjut umur persaraan
Diterbitkan:  May 23, 2025 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

PSM hari ini menggesa agar satu skim pencen warga emas diperkenalkan untuk warga berumur 65 tahun ke atas, berbanding melanjutkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM K Arveent berkata Malaysia tidak seharusnya sentiasa menyelaraskan dasar dalam negara dengan negara-negara Asean yang lain.

“Saya tertanya-tanya, apakah keperluan dasar sebegini? Bukankah kehidupan rakyat perlu menjadi lebih senang, dengan lebih masa lapang, terutamanya semasa sudah bersara, apabila negara semakin maju?

“Jikalau kerajaan bimbang akan kebajikan warga emas yang telah bersara, patutlah mereka mewujudkan Skim Pencen Warga Emas sepertimana yang diperjuang oleh PSM.

“RM500 setiap bulan kepada semua warga emas berusia lebih daripada 65 tahun akan membantu sedikit sebanyak menampung kos hidup mereka,” kata Arveent dalam kenyataan hari ini.

Kecuali Singapura, katanya lagi, kebanyakan negara Asean dieksploitasi oleh syarikat multinasional yang mencari buruh murah, menyebabkan wang simpanan pekerja di rantau ini rendah dan menjejaskan kehidupan mereka apabila mencecah usia tua.

Katanya, kerajaan membenarkan keadaan yang memaksa pekerja untuk menangguhkan persaraan, sedangkan ramai yang berumur lebih 60 tahun masih bekerja secara kontrak walaupun kesihatan sudah kurang baik.

Mereka juga lazimnya terpaksa menanggung anak-anak yang turut berdepan dengan masalah pendapatan yang tidak stabil, katanya lagi.

“Jikalau kita berfikir sebagai majikan pun, peningkatan usia persaraan ini mendatangkan pelbagai masalah. Pekerja yang menua terpaksa dikekalkan dan perkembangan pengganti mereka terbantut.

“Banyak syarikat kini mengalami isu mencari pengganti secukupnya akibat masa diambil untuk kenaikan pangkat terlalu lama sehingga pekerja berpengalaman meninggalkan syarikat tersebut.

“Peningkatan usia persaraan akan menyebabkan anak muda sekarang terpaksa menunggu lebih lama untuk memantapkan kerjaya mereka dengan memegang pangkat lebih tinggi,” katanya lagi.

Semakan umur persaraan wajib

Pada Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun, dengan menekankan ramai warga emas di Malaysia masih sihat dan mampu untuk terus menyumbang secara profesional.

Menurut Bernama, Azalina berkata di beberapa negara yang dilawatinya, termasuk negara anggota Asean, adalah perkara biasa bagi menteri undang-undang untuk terus berkhidmat sehingga usia 70-an, manakala hakim dibenarkan kekal berkhidmat sehingga umur 65 atau 70 tahun.

Kementerian Sumber Manusia hari ini mengumumkan ia sedang mengkaji cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun.

Menurut Bernama, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata perkara itu sedang dikaji oleh jawatankuasa khas yang diketuai timbalan ketua setiausaha kementerian kerana ia melibatkan undang-undang buruh di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sim berkata kementeriannya akan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan, khususnya sektor awam, pekerja dan majikan, sepanjang kajian itu bagi memastikan amalan terbaik antarabangsa dipatuhi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS