Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz mempersoalkan apakah pemimpin PH sudah melupakan pendirian mereka sebelum ini yang menentang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Dalam satu himpunan menuntut Azam meletakkan jawatan malam tadi, Adun Puteri Wangsa itu mengimbau kembali protes pada tahun 2022, yang turut disertai pemimpin PH.

"Pada waktu itu yang bersama dengan saya di jalanan, yang disiasat polis sama-sama, yang sama-sama kita kata kita nak tolak korupsi adalah rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, Kerajaan Madani sekarang.

"Waktu itu kita kata kita nak lawan rasuah, kita nak lawan Azam Baki.

"Tetapi akhirnya kita tengok bagaimana setiap Mei Azam Baki akan dilantik semula sebagai pesuruhjaya SPRM, daripada Mei 2023 ke Mei 2024 sehinggalah ke Mei 2025,” katanya ketika berucap di perhimpunan yang berlangsung di Kuala Lumpur malam tadi.

Pada hujung 2021 hingga awal 2022, aktivis dan ahli parlimen pembangkang – termasuk beberapa individu yang kini memegang jawatan menteri – menyertai beberapa siri perhimpunan membantah isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam.

Namun pada Januari 2022, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku berhubung pembelian saham tersebut, yang sebelum ini didakwa melanggar peraturan penjawat awam yang tidak dibenarkan memiliki saham melebihi RM100,000 dalam mana-mana syarikat.

Persoal pujian PM pada Azam

Protes malam tadi yang dianjurkan oleh Sekretariat Undur Azam Baki bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Sebelum ini, gerakan masyarakat sivil menyifatkan pelantikan semula tersebut sebagai satu “penghinaan terang-terangan” oleh kerajaan Madani.

Dalam perhimpunan itu, Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi, mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, khususnya kenyataan Anwar yang memuji kononnya Azam telah menunjukkan keberanian dalam membanteras rasuah.

Menurut Amir, ramai rakyat Malaysia yang berani, termasuk golongan muda dan pelajar universiti.

"Kamu dulu yang tak setuju (dengan Azam), hari ini kamu kata berani. Kerana apa? Kerana kuasa," katanya.

Anwar sebelum ini mempertahankan keputusan kerajaan melantik semula Azam walaupun mengakui terdapat kebimbangan rakyat. Namun dia berkata Azam telah menunjukkan “keberanian luar biasa” dalam menyiasat kes rasuah berprofil tinggi melibatkan individu kaya dan berpangkat.

Dalam sidang media selepas perhimpunan itu, Sekretariat Undur Azam Baki menyatakan lima tuntutan utama mereka:

  1. Azam Baki meletakkan jawatan serta-merta;

  2. SPRM dikeluarkan daripada Jabatan Perdana Menteri;

  3. Penjelasan mengapa kes kematian Teoh Beng Hock diklasifikasi sebagai “tiada tindakan lanjut”;

  4. SPRM tidak digunakan untuk tujuan politik; dan

  5. Penubuhan suruhanjaya bebas untuk melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Wakil Federasi Pemuda Kebangsaan, Norhamdin Nordin turut menyatakan bahawa rasa tidak puas hati bukan hanya terhadap Azam sebagai individu, tetapi terhadap SPRM sebagai institusi yang sepatutnya bebas dan tegas dalam membanteras rasuah.

Kira-kira 40 orang berhimpun di hadapan pusat beli-belah Sogo sebelum angka itu meningkat kepada kira-kira 80 orang apabila peserta tiba di Dataran Merdeka.

Turut hadir dalam sidang media ialah adik kepada mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan; Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan; Setiausaha Agung PSM, Sivaranjani Manickam; dan aktivis seni Fahmi Reza.

Selepas ucapan pemimpin, acara diteruskan dengan persembahan teater dan bacaan puisi oleh pelajar universiti tempatan.

Himpunan bermula jam 8 malam dan berakhir kira-kira 10 malam.

Pada 13 Mei lalu, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar mengesahkan pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun lagi, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan iitu akan berlangsung sehingga 12 Mei 2026.

Azam, 62, memegang jawatan itu sejak 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Koya. Dia dilantik semula pada Mei 2023 dan sekali lagi pada Mei 2024.

Antara kritikan utama terhadapnya ialah persepsi bahawa SPRM lambat bertindak dalam siasatan skandal rasuah di Sabah, yang melibatkan beberapa Adun serta pemimpin kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS