Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang didakwa didera oleh ibu bapanya sendiri – termasuk dikurung dalam sangkar anjing – berjaya diselamatkan dan ditempatkan di bawah jagaan neneknya.
Menurut laporan New Straits Times, pihak berkuasa di Pulau Pinang berjaya mengesan nenek mangsa selepas laporan media mengenainya, dan diberi hak sebagai penjaga sementara kepada kanak-kanak tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Lim Siew Khim, berkata pihak berkuasa kini sedang berusaha mengesan ahli keluarga lain.
"Ibu bapa kanak-kanak itu masih dalam tahanan reman, manakala adik-beradiknya yang berusia 15 tahun kini berada di bawah jagaan nenek mereka. Perkara ini akan dinilai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Kami masih berusaha mengesan saudara-mara lain yang boleh menjaga mereka," tambahnya.
Terdahulu dilaporkan bahawa kanak-kanak perempuan itu mengalami kecederaan akibat didera. Selain itu, terdapat dakwaan bahawa kanak-kanak itu pernah dikurung dalam sangkar anjing ketika berusia 10 tahun.
Tempoh tahanan reman bapa mangsa yang pada awalnya ditetapkan selama empat hari, kini dilanjutkan sehingga 29 Mei, manakala tempoh reman terhadap ibu mangsa tamat pada hari ini.
Pada masa ini, kanak-kanak tersebut sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak, yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.