ULASAN l Pemilihan PKR sudah berakhir akan tetapi barisan kepimpinan baru parti itu terutamanya timbalan presiden bakal menghadapi pelbagai cabaran selain terus berdepan dengan kritikan dan label “nepotisme”.
Akan tetapi, antara cabaran terbesar Nurul Izzah Anwar untuk memegang jawatan timbalan presiden PKR adalah kerana tidak mempunyai pengalaman sebagai pentadbir berbanding rakan pimpinan kanan yang lain.
Selain bapanya Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, naib-naib presiden dan sebahagian daripada anggota majlis pimpinan pusat PKR terdiri daripada menteri besar, menteri dan timbalan menteri.

Contohnya Amirudin Shari merupakan menteri besar Selangor, Ramanan Ramakrishnan adalah timbalan menteri, Aminuddin Harun menteri besar Negeri Sembilan dan Chang Lih Kang juga merupakan seorang menteri.
“Untuk memimpin satu parti yang ramai yang lebih berpengalaman daripada dia, dia ada satu gap yang harus berusaha untuk untuk kejar.
Pentadbiran tanpa pengalaman: Risiko Nurul Izzah?
“Bagi saya sekiranya dia memikul jawatan itu, itulah usaha yang harus dibuat oleh Nurul Izzah,” kata bekas naib presiden PKR, Chua Tian Chang dalam satu wawancara bersama The Tiger Show Podcast baru-baru ini.
Menurut Chua yang popular dengan gelaran Tian Chua, banyak yang perlu dipelajari oleh Nurul Izzah yang pernah menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal.

“Nurul Izzah tidak pernah memegang jawatan pentadbir. Dia tidak pernah dalam negeri, kerajaan negeri.
“Tidak pernah dalam kerajaan pusat. Yang ada beberapa jawatan yang bersifat penasihat,” katanya yang juga merupakan antara pengasas PKR.
Apa yang harus dilakukan?
Nurul Izzah boleh sahaja dilantik sebagai senator dan kemudiannya menjadi anggota Kabinet yang dipimpin oleh ayahnya akan tetapi ia tidak akan menyurutkan kritikan tentang nepotisme.
Perlu 'Langkah Kajang' versi baru
Ini akan mengganggu Nurul Izzah untuk berperanan dan membuktikan potensinya sebagai seorang pemimpin dan pentadbir yang baik kerana bapanya perdana menteri dan beliau seorang menteri.
Maka, adalah lebih baik jika bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu memulakan pengalaman sebagai pentadbir di peringkat negeri terlebih dahulu.

Apatah lagi PKR kini menguasai dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan dan kedua-dua menteri besar juga merupakan ahli Parlimen yang boleh dibawa ke Kabinet pada bila-bila masa tanpa sebarang masalah.
Sesuatu seperti “Langkah Kajang” perlu dilakukan segera bagi merealisasikan perkara ini dan kerusi-kerusi selamat Pakatan Harapan (PH) boleh dikosongkan bagi memberi laluan kepada timbalan presiden PKR yang baru untuk bertanding dan menang.
Dan selepas menang dan memimpin salah satu negeri ini, barulah Nurul Izzah boleh membuktikan sama ada apa yang dikatakan oleh pengkritik-pengkritiknya sebelum ini benar atau salah.
“Bagi saya Nurul Izzah kena buktikan bahawa dia ada pandangan atau pendirian yang berbeza dengan ayah dia.
“Dan dia mampu untuk melakukan sesuatu yang lebih baik daripada ayah dia. Itu saya rasa masa akan buktikan,” kata Chua.
Masa depan Nurul Izzah
Sudah pasti ada yang akan bertanya mengapa tidak tunggu sahaja pilihan raya akan datang?
Kerana pada ketika ini, Anwar mempunyai kuasa penuh dan perlu dimanfaatkan pada ketika jika tidak memanfaatkannya pun akan tetap dikatakan nepotisme.

Dan sebaik sahaja Parlimen, Dewan Negeri dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan, semua pihak yang bertanding mempunyai peluang untuk menang dan boleh jadi pada ketika itu, orang lain yang menang.
AMIN ISKANDAR merupakan hos The Tiger Show Podcast selain pernah bertugas dengan beberapa syarikat media.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
