Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun kecewa soalan tentang kos lawatan luar negara premier ditolak
Diterbitkan:  May 27, 2025 12:33 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending Violet Yong menyatakan kekecewaannya kerana soalannya berkaitan kos lawatan rasmi pemimpin Sarawak ke luar negara ditolak.

Wakil rakyat DAP itu berkata mereka tidak mempertikaikan keperluan misi rasmi ke luar negara untuk kepentingan Sarawak, sebaliknya menuntut ketelusan penggunaan wang rakyat.

“Rakyat Sarawak tidak meminta rahsia perdagangan sulit. 

“Mereka hanya ingin tahu bagaimana wang cukai mereka digunakan, terutamanya apabila kebajikan awam, penjagaan kesihatan, infrastruktur, dan pembangunan luar bandar masih tidak mencukupi di banyak tempat di negeri kita,” katanya.

Violet Yong

Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menolak soalan berkenaan perbelanjaan perjalanan luar negara Premier Abang Johari Openg dan menteri-menteri kabinetnya.  

Borneo Post Online melaporkan Asfia sebagai berkata kos itu tidak seberapa berbanding pelaburan asing berbilion yang ditarik.  

Katanya, soalan tersebut tidak boleh diterima kerana telah ditolak sebelum ini, selain boleh menjejaskan prosiding DUN, atau bertentangan dengan kepentingan awam.  

Katanya, urusan antarabangsa seperti memeriksa pesawat di Perancis atau infrastruktur di Qatar tidak boleh dilakukan secara dalam talian.  

Amar Mohamad Asfia Awang Nassar

Dalam kenyataan hari ini, Yong berkata menyekat soalannya boleh mengikis kepercayaan awam dan menyuburkan budaya ketidakjelasan 

“Menolak tuntutan ketelusan dengan alasan ia mengganggu ‘keajaiban ekonomi’ Sarawak adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima. 

“Kemajuan ekonomi sebenar tidak takut kepada semakan, malah menerimanya,” katanya.

Yong juga berkata penggunaan Peraturan Mesyuarat 20(3), 20(4), dan 20(6) untuk menolak soalan itu mewujudkan duluan berbahaya kerana pertanyaan mengenai perbelanjaan kerajaan boleh ditutup sewenang-wenangnya.

Perkara itu, katanya, menghakis peranan DUN sebagai mekanisme pengimbang kuasa. 

“Rakyat berhak mengetahui bagaimana wang mereka dibelanjakan, terutamanya apabila ia melibatkan berjuta-juta ringgit untuk perbelanjaan perjalanan dan kos berkaitan.

“Membimbangkan ketika kerajaan GPS Sarawak mendakwa tiada apa yang perlu disembunyikan, mereka pada masa yang sama enggan mendedahkan butiran kewangan asas,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS