Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Haramkan kerajaan, syarikat saman individu kerana fitnah'

Seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan hari ini mencadangkan agar Majlis Peguam mendesak pindaan terhadap Akta Fitnah bagi melarang kerajaan dan syarikat memfailkan saman fitnah.

Harminder Singh Dhaliwal berkata dalam satu forum di Kuala Lumpur bahawa undang-undang fitnah sepatutnya dihadkan kepada individu sahaja, memandangkan reputasi pada asalnya merujuk kepada maruah, kehormatan dan nama baik seseorang.

Merujuk kepada sejarah undang-undang berkaitan fitnah, dia berkata bahawa orang biasa dahulu sanggup bergaduh, malah berkorban nyawa, demi memulihkan maruah mereka.

“Begitulah asal-usul perkembangan undang-undang fitnah. Ia hanya pada tahun 1894 apabila entah bagaimana syarikat-syarikat mula terlibat dan mendakwa bahawa reputasi mereka telah tercemar.

“Saya melihat perkara ini bermasalah kerana reputasi pada asalnya berkait dengan ciri-ciri seperti kehormatan, maruah, integriti dan nama baik seseorang.

“Justeru, saya mencadangkan agar syarikat dikecualikan – undang-undang ini seharusnya hanya terpakai kepada individu,” katanya.

Harminder merupakan salah seorang daripada lima panelis forum anjuran Jawatankuasa Undang-Undang Sivil dan Reformasi Undang-Undang Majlis Peguam yang bertajuk "Reformasi Undang-Undang Fitnah: Menilai Semula Akta Fitnah 1957".

Forum itu dianjurkan untuk membincangkan cadangan reformasi terhadap akta berkenaan, yang belum pernah dipinda sejak mula dikuatkuasakan lebih enam dekad lalu.

Tambah Harminder lagi, kerajaan juga tidak sepatutnya dibenarkan untuk menyaman rakyat atas alasan fitnah.

‘Kes luar biasa di Sarawak’

Dia merujuk satu kes "luar biasa" di mana kerajaan negeri Sarawak dibenarkan untuk menyaman seorang individu atas dakwaan fitnah.

Harminder menyatakan tidak dapat memahami bagaimana sebuah kerajaan boleh mendakwa ia mempunyai "reputasi pemerintahan", apatah lagi menggunakan wang pembayar cukai untuk menyaman warganegaranya sendiri hanya kerana kritikan.

“Saya tidak dapat menerimanya. Tapi itulah undang-undang yang ada sekarang. Perkara ini patut dipertimbangkan oleh jawatankuasa (sebagai sebahagian daripada cadangan reformasi),” ujarnya.

Difahamkan bahawa Harminder merujuk kepada keputusan penting Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018, yang memutuskan bahawa kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai hak untuk menyaman individu atas fitnah.

Keputusan itu dibuat apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam saman sivil yang difailkan oleh kerajaan negeri Sarawak terhadap bekas Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS