Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR balas Puad: Letak jawatan bukan tanda gagal, tapi politik matang
Diterbitkan:  May 28, 2025 6:51 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi bukanlah satu kelemahan, sebaliknya satu manifestasi budaya politik baru, budaya yang berani mengutamakan prinsip dan keberanian moral, melebihi kelekatan kepada kuasa.

Ahli Majlis Pimpinan Pemuda PKR Syamil Luthfi mengulas kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, yang mendakwa tindakan Rafizi itu sebagai menyelamatkannya daripada menjadi mangsa kerat 2.0 dalam PKR.

Sebaliknya, Syamil berkata, bekas timbalan presiden parti itu telah membuktikan bahawa jawatan bukan matlamat utama.

“Beliau (Rafizi) meletakkan jawatan secara sukarela bahkan satu tindakan yang jarang berlaku dalam politik Malaysia, apatah lagi dalam kalangan tokoh utama kerajaan.

“Ini menandakan satu kematangan politik yang wajar dihormati, bukan dipersoalkan.

"Sebaliknya, bagi sesetengah tokoh seperti Puad Zarkashi yang sudah lama berakar dalam politik lama, tindakan seperti ini mungkin janggal atau dianggap ‘gugur sebelum tempoh’.

“Namun, ia sebenarnya selari dengan nilai akauntabiliti peribadi dan integriti politik yang dimana menjadi asas kepada pembaharuan yang ingin dibawa oleh PKR," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Syamil, bagi mereka yang lahir daripada sistem politik lama, jawatan sering dianggap sebagai simbol kekuasaan peribadi malah bagi sesetengah individu ianya sesuatu yang perlu dipertahankan walau apapun berlaku.

Terdahulu, Puad berkata bahawa reputasi pemilihan PKR telah "dikoyak" oleh Rafizi.

"Pemilihan PKR menjadi medan parti itu dikoyak-rabakkan reputasinya oleh Rafizi. Rafizi kata, reformasi PKR gagal. Justeru geng dia bangkit demi hidupkan reformasi tulin.

"Dia bawa slogan Hiruk (Hidupkan Idealisme Reformasi Ujian Kuasa). Apabila tuduh Anwar (Ibrahim) dan PKR gagal melaksanakan reformasi secara tidak langsung dia juga menuduh kerajaan gagal.

"Berlaku perebutan, siapa pendokong reformasi tulen. Apabila Rafizi masuk ke dewan, penyokongnya menjerit “reformasi”. Bila Anwar tutup ucapan penggulungannya, dia juga melaungkan reformasi," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, Syamil berkata peletakan jawatan ini harus dilihat sebagai bukti bahawa PKR berani mencipta standard baru dalam politik Malaysia.

"Ia memberi mesej jelas bahawa PKR bukan hanya retorik tentang reformasi, tetapi mengamalkannya secara konsisten termasuk melalui kesediaan pemimpinnya untuk berubah, berundur, dan bertanggungjawab.

"Ini juga membuktikan bahawa kepimpinan PKR tidak takut kepada pembaharuan, bahkan mengalu-alukannya. Dalam dunia politik moden, keberanian untuk berubah adalah satu kekuatan, bukan kelemahan.

"Sebarang cubaan untuk menyindir atau memperlekeh tindakan Rafizi sebenarnya hanya mendedahkan jurang antara politik lama yang berpaut pada kuasa dan politik baharu yang berani melepaskannya demi prinsip. Dalam hal ini, PKR berada di landasan yang betul untuk memimpin bukan dengan kuasa semata-mata, tetapi dengan contoh dan integriti," katanya.

Selain Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad yang tewas pada pemilihan nanib presiden Jumaat lalu, turut meletakkan jawatan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam, hari ini.

Kedua-dua mereka memaklumkan bahawa kekalahan dalam pemilihan parti sebagai alasan untuk melepaskan jawatan jemaah menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS