Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Guna Majlis Media, RUU Ombudsman sebagai saluran tangani kes fitnah'

Seorang ahli jawatankuasa Majlis Peguam hari ini mencadangkan agar Majlis Media yang bakal ditubuhkan serta Rang Undang-Undang Ombudsman yang dirancang dijadikan sebagai saluran alternatif bagi rakyat biasa membawa kes fitnah mereka.

Bercakap dalam satu forum di Kuala Lumpur, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-Undang Sivil dan Pembaharuan Undang-Undang Majlis Peguam, M Ramachelvam, berkata dia bersetuju dengan pandangan bahawa undang-undang fitnah hanya mampu digunakan orang kaya.

Ini kerana, hanya golongan berada sahaja yang biasanya mampu menyaman individu lain apabila mereka difitnah.

"Pertama sekali, mereka (rakyat biasa) tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menanggung kos perbelanjaan mahkamah dan bayaran awal guaman. Itu juga merupakan pengalaman saya.

"Banyak orang datang dalam keadaan marah dan kecewa, tetapi apabila kita bincangkan isu berkaitan bayaran guaman, ramai daripada mereka tidak kembali lagi," katanya dalam forum tersebut.

Forum yang bertajuk “Reformasi Undang-Undang Fitnah: Meneliti Semula Akta Fitnah 1957” itu dianjurkan oleh Majlis Peguam bagi membincangkan cadangan reformasi terhadap undang-undang tersebut.

Majlis Media

Ramachelvam menambah bahawa kes-kes fitnah semakin serius pada masa kini kerana isu-isu kecil dalam kalangan kumpulan kecil boleh tersebar luas ke seluruh negara.

Justeru, katanya, perlu ada alternatif lain bagi rakyat mendapatkan pembelaan.

"Contohnya melalui Majlis Media. Harus ada saluran untuk seseorang yang difitnah mengemukakan aduan kepada Majlis Media bagi meminta pembetulan oleh media, sebagai contoh.

"Isu di bawah bidang kuasa MCMC juga boleh ditangani dengan mendekati MCMC untuk mengambil langkah pemulihan. Selain itu, saya fikir Rang Undang-Undang Ombudsman akan diperkenalkan.

"Jenis-jenis mekanisme penyelesaian alternatif sebegini harus dipertimbangkan untuk menyelesaikan isu berkaitan fitnah, terutamanya bagi rakyat biasa," kata peguam kanan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS