Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pemimpin bukan untuk dipuja' - Aktivis bidas sambutan ulang tahun Musa
Diterbitkan:  May 29, 2025 3:18 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Seorang aktivis daripada persatuan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggesa agar sambutan ulang tahun Yang di-Pertua Negeri Musa Aman dibatalkan.

Aliff Danial berkata dana rakyat seharusnya disalurkan untuk menyelesaikan masalah di negeri itu.

Dia membidas kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana “berbelanja mewah”, dan menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.

“Bagaimana mungkin seorang bekas pemimpin yang pernah menghadapi 46 tuduhan rasuah melibatkan konsesi balak bernilai RM200 juta kini mahu diraikan hari jadinya dengan penuh kemewahan menggunakan dana rakyat?

“Seharusnya dana rakyat itu disalurkan untuk membantu menyelesaikan masalah air di UMS dan permasalahan lain dihadapi penduduk Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Pelajar UMS sekian lama berdepan dengan masalah bekalan air, termasuk kekurangan air dan mutu air yang rendah.

Sambutan ulang tahun Musa akan diadakan pada 21 Jun di Kota Kinabalu.

Pada Mac lalu, Timbalan Ketua Menteri II Sabah Joachim Gunsalam berkata perutukan untuk sambutan ulang tahun Yang di-Pertua Negeri telah dikurangkan sebanyak 30 peratus berbanding tahun lepas.

Mengulas lanjut, Aliff mendakwa GRS pernah membuat pembaziran serupa sebelum ini.

“Baru-baru ini mereka membelanjakan hampir RM4 juta hanya untuk plat nombor kereta ‘SMJ’.

“Kerajaan GRS gagal menyelesaikan masalah asas rakyat tetapi cekap menganjurkan sambutan yang tidak membawa makna.

“Pemimpin bukan untuk dipuja. Mereka dilantik untuk bekerja dan berkhidmat. Budaya bodoh ini mesti dihentikan,” katanya lagi.

Pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri pada Disember lalu mengundang kritikan sejumlah piha.

Pada 2018, semasa pentadbiran PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Musa dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menerima rasuah lebih RM263 sebagai balasan untuk kontrak pembalakan.

Namun, beliau kemudiannya dibebaskan pada 2020 semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS