Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff, diperintah membayar ganti rugi RM400,000 kepada Hannah Yeoh, ekoran membuat hantaran fitnah ke atas Menteri Belia dan Sukan berkenaan.
Hantaran itu dilakukan Kamarul Zaman pada 2017.
Dalam keputusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, hakim Aliza Sulaiman memutuskan Yeoh dibayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan teruk bagi setiap hantaran fitnah dibuat Kamarul Zaman.
Kamarul Zaman juga diarah membayar kos guaman sebanyak RM80,000.
Menurut laporan portal FMT, Aliza bagaimanapun menolak permintaan Yeoh agar Kamarul Zaman membuat permohonan maaf secara terbuka.
Laporan sama menyatakan, Kamarul Zaman tidak hadir semasa prosiding hari ini.
Yeoh memfailkan saman terhadap Kamarul Zaman pada 2022 melibatkan hantaran Facebook masing-masing bertarikh 10 Mei dan 17 Mei 2017.

Melalui hantaran berkenaan Kamarul Zaman mendakwa Ahli Parlimen Segambut itu mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya dan mahu mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Dia membuat dakwaan tersebut dengan memetik kandungan buku biografi Yeoh, Becoming Hannah: A Personal Journey.
Sementara itu mengulas mengenai keputusan mahkamah, Yeoh menulis di Facebook untuk menyampaikan penghargaan kepada pasukan peguamnya yang bekerja keras memenangkan kes tersebut.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam saya, Sangeet Kaur Deo dari Karpal Singh & Co dan Tan Chee Kian dari CK Tan Chambers kerana bekerja keras dan teliti dalam kes kami.
“Begitu terharu dengan CK yang mengambil cuti daripada rawatannya di hospital untuk menghadiri mahkamah pagi ini.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua saksi saya kerana datang ke perbicaraan untuk memberi keterangan," katanya.
Mengulas perkembangan hari ini, Kamarul Zaman berkata dia menghormati keputusan dibuat hakim.
Pada masa sama, katanya, dia menegaskan tidak bersetuju dengan dapatan serta asas penghakiman yang telah membawa kepada keputusan tersebut.
“Oleh itu, saya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat bagi mencabar keputusan ini dari segi fakta dan undang-undang.
“Saya percaya sistem perundangan kita memberi ruang dan peluang untuk seseorang mendapatkan keadilan secara menyeluruh melalui proses rayuan dan saya akan menggunakan saluran undang-undang yang sah bagi mempertahankan hak dan kebebasan saya sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
