Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menggesa kerajaan meminda Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dengan alasan peruntukan sedia ada memberikan kuasa yang terlalu besar kepada eksekutif dalam pelantikan kehakiman.
Dalam kenyataan hari ini, MCCBCHST berkata, pindaan tersebut penting bagi mengekalkan kebebasan badan kehakiman serta menunaikan janji manifesto pilihan raya kerajaan untuk memberi penekanan kepada kepentingan pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman
"Perlembagaan Persekutuan berteraskan prinsip pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang dan perlindungan kepada golongan minoriti.
“Prinsip-prinsip ini sebahagian daripada struktur asas perlembagaan, justeru tidak boleh dihapuskan atau dibatalkan," kata MCCBCHST merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan lain-lain.
Perkara 122B(1) memperuntukkan bahawa pelantikan hakim kanan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Namun menurut MCCBCHST, peruntukan itu memberikan kuasa melampau kepada perdana menteri dalam pelantikan hakim mahkamah tinggi dan Mahkamah Persekutuan.
MCCBCHST berkata satu-satunya kewajiban perdana menteri ialah berunding dengan ketua hakim negara dan ketua hakim mahkamah tinggi, namun nasihat mereka boleh diabaikan.
"Kuasa berlebihan yang diberikan kepada perdana menteri di bawah Perkara 122B(1) bertentangan dengan doktrin pemisahan kuasa dan struktur asas perlembagaan.
Sepatutnya, ketua hakim negara yang menasihati Agong mengenai pelantikan hakim," katanya.
MCCBCHST menyatakan apabila perlembagaan dibentuk pada 1957, doktrin pengasingan kuasa dan struktur asas perlembagaan belum dikembangkan.
Bagi mengehadkan kuasa tidak terkawal perdana menteri melantik hakim, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Jaca) diluluskan antara lain untuk menyediakan kriteria bagi pelantikan kehakiman.
"Bagaimanapun, Jaca sendiri dikritik kerana masih memberikan terlalu banyak kuasa kepada perdana menteri dalam pelantikan hakim dan pelbagai gesaan untuk pembaharuan telah dibuat," katanya.
MCCBCHST turut menyenaraikan tentangan yang menonjol terhadap Jaca, termasuk daripada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat semasa berucap di Persidangan Perundangan Komanwel ke-24 di Malta pada April lalu.
Contoh lain termasuk kenyataan bersama sembilan bekas presiden Badan Peguam Malaysia, profesor undang-undang Shad Saleem Faruqi, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan bekas menteri Zaid Ibrahim.
“MCCBCHST menyeru kerajaan mengambil perhatian terhadap pelbagai gesaan yang dibuat untuk pembaharuan seperti yang dinyatakan di atas dan menunaikan janji manifestonya, termasuk memastikan kebebasan badan kehakiman.
"Ini memerlukan pindaan dibuat kepada Akta 122B dan beberapa peruntukan Jaca, supaya pelantikan hakim adalah untuk ketua hakim negara menasihati Yang di-Pertuan Agong, bukan perdana menteri," kata pertubuhan itu.
Ia menambah sebarang penglibatan perdana menteri dalam proses pelantikan kehakiman adalah sama dengan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman, dan kerajaan mesti melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan untuk memastikan kebebasan kehakiman.
