Naib Ketua Pemuda PKR Nabil Halimi tampil mempertahankan ketuanya, Kamil Abdul Munim yang dikritik Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) berhubung dakwaan amalan naungan dalam pelantikan politik.
Dalam kenyataan hari ini, Nabil mengingatkan agar penglibatan politik tidak disamakan dengan kronisme atau rasuah.
“Melantik seseorang yang aktif dalam politik tidak semestinya bermaksud mereka tidak layak atau sistem telah dicemar.
“Begitu juga, meletakkan individu bukan partisan tidak menjamin kebebasan daripada berat sebelah atau penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Menurut Nabil, penekanan seharusnya diberikan kepada merit dan kebertanggungjawaban dalam semua pelantikan, tanpa mengira kecenderungan politik.
“Matlamat sebenar adalah untuk memastikan setiap pelantikan, sama ada bersifat politik atau tidak, berasaskan merit, kebertanggungjawaban dan keupayaan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“PKR terus menjunjung prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik, serta komited terhadap reformasi yang lebih meluas seperti Akta Pendanaan Politik dan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan bagi memperkukuh institusi demokrasi dari peringkat akar umbi,” katanya lagi.
Nabil menjawab kritikan C4 Center bahawa Kamil, yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan, gagal mempertahankan Anwar daripada tuduhan menyimpang daripada idealisme reformasi.
Ia turut mendakwa kenyataan Kamil mencerminkan budaya politik naungan yang berakar umbi, termasuk dalam pelantikan kerajaan tempatan.
Reformasi diperlukan
Menjawab kritikan itu, Nabil mengakui perlunya ketelusan dan reformasi institusi secara jangka panjang bagi mengekalkan kepercayaan awam, termasuk di peringkat akar umbi.
“Reformasi adalah satu proses yang memerlukan komitmen kolektif untuk membawa perubahan yang bermakna.
“Namun, usaha-usaha ini perlu difahami sebagai sebahagian daripada proses jangka panjang yang memerlukan kerjasama antara peringkat persekutuan, negeri dan tempatan – bukan satu pengisytiharan one off.
“Menyasarkan kritikan kepada individu tanpa mengakui kerumitan struktur dan politik yang terlibat hanya akan menjejaskan agenda reformasi yang kita semua harapkan untuk berjaya,” katanya.
Terdahulu, Kamil berhujah bahawa C4 telah salah faham konteks kenyataan Anwar semasa Kongres PKR baru-baru ini, dan menyifatkan NGO gopoh dalam membuat penilaian.
Dia menjelaskan pelantikan politik yang dimaksudkan Anwar hanya merujuk kepada jawatan ketua kampung, yang bertujuan memberi peluang kepada pemimpin akar umbi untuk menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat.
