Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Umno dan mengumumkan hasratnya untuk menyertai PKR.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Zafrul yang merupakan seorang senator berkata keputusan itu tidak dibuat dengan mudah dan dia telah mendapatkan pandangan serta nasihat daripada rakan-rakan di luar mahupun dalam Umno, termasuk presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan Umno.
“Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua Umno Kota Raja dan ahli Umno.
“Pada masa sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai PPKR kepada presiden dan setiausaha agung parti itu. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR,” katanya lagi.
Perkembagan ini di tengah spekulasi terbaru mengenai rombakan kabinet selepas dua menteri daripada PKR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad – meletakkan jawatan mereka.
Rombakan kabinet bakal berlaku?
Khabar angin mengenai rombakan kabinet pada mulanya timbul susulan pemilihan DAP dan PKR yang telah dilaksanakan tahun ini.
Ini kerana tempoh jawatan Zafrul sebagai senator tamat pada pertengahan Disember setelah berkhidmat selama dua penggal, iaitu tempoh maksimum untuk seseorang menjadi senator.
Pada Disember lalu, Anwar mengesahkan ada perbincangan dalam PKR berkenaan hasrat Zafrul untuk menyertai parti itu.
Namun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu tidak akan membenarkan amalan lompat parti dalam kalangan anggota kerajaan perpaduan.
Pada 10 Februari, Zafrul berkata dia akan berbincang terlebih dahulu dengan Zahid sebelum membuat keputusan. Ketika itu, Zahid menasihatinya agar tidak terburu-buru meninggalkan parti untuk menyertai PKR.
Selepas itu, Zafrul menyatakan komitmennya terhadap Umno dan menegaskan fokusnya ketika itu adalah tugasnya sebagai menteri.
