Paling Popular
Terkini

Belum terlewat saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Nurul Izzah Anwar yang telah terpilih sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini. Kemenangan Nurul Izzah ini disusuli pula dengan pengunduran Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada jemaah menteri, yang mana pada pandangan saya hal ini lebih menjurus kepada sifat tanggungjawab apabila seseorang itu tewas dalam pemilihan jawatan dalam parti.

Ia adalah suatu yang normal dan bukannya janggal.

Dalam politik yang dinamik, tidak dinafikan bahawa proses artikulasi adalah amat penting. Hal ini bukanlah soal sama ada banyak atau tidaknya serangan ke atas peribadi atau pihak-pihak tertentu. Sekiranya mengurangkan hentaman peribadi itu akan menjadikan demokrasi lebih bersih, lebih baik dan lebih berakhlak, barangkali inilah yang seharusnya dilakukan oleh kita semua.

Walau apapun proses ini, sama ada berkempen atau berdebat ia seakan perkara wajib dalam setiap proses demokrasi yang ingin kita hidupkan sebagai asas kepada kebebasan bersuara.

Kita sudah pun melihat keputusan akhir pemilihan PKR baru-baru ini dan bagaimana kampen dilaksanakan. Ia sesuatu yang sangat hebat dan penuh dengan amalan tradisi politik PKR yang membentuk daya tahan parti tersebut selama ini.

Parti yang wujud dengan slogan “Lawan tetap Lawan” dan laungan “Reformasi” telah memperlihatkan kematangan politik yang belum pernah dilihat sebelum ini – berterus terang, bebas menyampaikan pandangan dan tidak bimbang untuk mengkritik pucuk pimpinan parti merupakan asas kekuatan politik PKR lebih daripada dua dekad. Namun demikian, janganlah pula slogan-slogan ini disalahgunakan demi kepentingan politik sempit pihak tertentu.

Hakikatnya ia merupakan slogan yang penuh makna jika digunakannya di tempat yang betul. Teringat saya akan amanat Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap merasmikan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), kata beliau, “Kita harus kembali sebagai satu pasukan. Memanglah betul kita guna slogan ‘lawan tetap lawan’, tetapi lawan jangan dengan kawan.”

Walau seghairah mana kita berkempen, pendekatan rahmah perlulah menjadi kunci sebuah artikulasi yang baik dan berakhlak. Imam al-Raghib al-Isfahani di dalam kitab Mufradat Alfadz al-Quran mendefinisikan rahmah sebagai kelembutan yang menuntut berbuat baik kepada yang disayangi. Hal ini termasuklah elemen kelembutan, kasih sayang dan berbudi bahasa dalam pengucapan awam yang menjadi tuntutan agama dan simbol akhlak seseorang dalam menyampaikan buah fikirannya. 

Hal ini pernah dinyatakan secara terperinci oleh Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Presiden Amanah dalam satu posting beliau di facebook pada tahun 2019 yang berbunyi: 

“Nilai-nilai yang dipotretkan dalam rahmah akan diterjemah dalam pelaksanaan Gagasan Ke Arah Masyarakat Rahmah. Nilai-nilai ini tercerna daripada sifat mahmudah yang perlu ada dalam jiwa seorang Muslim yang berakhlak sebagaimana diajar agama kita, ia tidak dapat lari daripada ajaran Quran dan Sunnah yang menekankan nilai-nilai murni dan akhlak yang mulia. Maka, sifat-sifat Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat semuanya telah diceritakan di dalam Quran tentang bagaimana untuk menguruskan kehidupan sesama insan dan alam.”

Hal ini selari dengan rukun Malaysia Madani melalui pendekatan ihsan dan hormat. Ihsan bererti menyakini bahawa setiap tingkah laku kita sentiasa diperhatikan oleh Allah dan sewajarnya tutur kata serta gaya penyampaian kita juga berpaksikan akhlak seorang muslim. Hormat pula bererti etika dalam menegur dan memberi nasihat kepada seseorang dengan cara bijaksana dan berseni, apatah lagi melibatkan individu yang lebih berusia dan berjasa kepada kita. 

Sebagai pemerhati luar, saya tidak berpihak kepada sesiapa, baik saudara Rafizi Ramli yang mencetus tema Hiruk mahupun Nurul Izzah Anwar yang cuba memperkenalkan pendekatan Damai. Kedua-dua tokoh muda ini memiliki kekuatan dan kompetensi ahli politik yang berwibawa, sudah pasti negara dan parti sangat memerlukan kepakaran dan pengalaman kedua-dua insan hebat ini.

Justeru itu, keputusan pemilihan yang telah diputuskan oleh ahli-ahli parti PKR baru-baru ini, seharusnya tidak menyebabkan perpecahan mahupun ‘peperangan’ yang berpanjangan dalam kalangan penyokong masing-masing. Mungkin ramai yang tidak memahami bahawa PKR wujud dengan cara dan DNAnya yang tersendiri – ia sebuah parti yang unik, yang terbentuk dan konsisten dengan falsafah keadilan untuk semua kaum dan agama tanpa bersikap prejudis mahupun pilih kasih dalam melaksanakan dasar dan pendekatannya. 

Falsafah ini – keadilan untuk semua, adalah secocok dengan gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dipromosikan oleh Parti Amanah. Sebuah gagasan yang menolak sikap melampau dalam tindakan, pengucapan dan beragama serta menjauhi elemen memperalat agama demi kepentingan politik kepartian. Saya percaya dan yakin elemen sebegini tidak seharusnya meresapi kepimpinan PKR, walau siapa pun yang akan menerajui pucuk pimpinan parti itu kelak. PKR akan bergerak dengan acuan dan tradisinya yang tersendiri – bebas mengkritik untuk menghidupkan demokrasi, namun akhirnya akan bertaut kembali sebagai satu pasukan. Kita mempunyai banyak kerja yang belum selesai, kemaskan pasukan dan selami gagasan Rahmatan Lil Alamin dan Madani dalam memperkukuhkan parti masing-masing, InshaAllah kejayaan akan kekal menjelma seterusnya.


ZULKIFLI MOHAMED merupakan aktivis Amanah yang aktif di lapangan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS