Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan kabinet susulan peletakan jawatan dua menteri PKR dan tindakan seorang menteri Umno keluar parti.
Menurut Bernama, Anwar berkata kerajaan kekal berfungsi di sebalik perkembangan yang berlaku.
"Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri sudah letak jawatan, (dan) kami memberikan masa kepada mereka untuk memikirkan apa yang mereka mahu lakukan.
"Kini mereka sedang bercuti. Saya sudah luluskan permohonan cuti mereka. Saya rasa kita tidak perlu buat andaian," katanya seperti dipetik.
Katanya lagi,kabinet terus berfungsi seperti biasa dan aturan sementara akan dibuat bagi memastikan kesinambungan dalam tadbir urus.
Pada minggu lalu, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad masing-masing meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli serta Kelestarian Alam Sekitar, susulan gagal mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan PKR.

Sementara itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, mengambil langkah untuk keluar Umno bagi menyertai PKR — satu tindakan yang telah mencetuskan pergeseran antara kedua-dua parti.
Susulan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan peruntukan tujuh jawatan menteri untuk Umno mesti dikekalkan.
Bagaimanapun, Anwar membayangkan Zafrul akan kekal dalam barisan jemaah menteri.
“Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik. Pelaburan kita ratusan bilion, banyak juga dikendali dengan usahanya.
“Tetapi, soal kedudukan menteri itu tidak terjejas dan kita mahu dia teruskan tugas kerana prestasi sebagai menteri baik dan negara memerlukan sumbangannya,” kata Anwar lagi.
Menurut Anwar, permohonan Tengku Zafrul untuk menyertai PKR belum dibincangkan oleh parti itu.
“...Biar dia menunaikan fardu haji dahulu dan tak payah banyak sangat tafsiran yang kurang sihat.
“Orang ambil keputusan, kita hormat keputusan dia. Jadi, bagi pihak PKR, tentulah kita kena bincang dengan rakan-rakan (parti dalam kerajaan) dan fikir yang sebaiknya,” katanya lagi.
