Mesir dan Qatar semalam menyatakan harapan agar persetujuan segera dicapai berhubung cadangan gencatan senjata sementara selama 60 hari antara Israel dan Hamas bagi membuka jalan ke arah gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam kenyataan bersama, Kaherah dan Doha menggesa semua pihak agar “bertindak dengan penuh tanggungjawab dan menyokong usaha perantara yang berusaha menyelesaikan krisis di Semenanjung Gaza dengan mengembalikan kestabilan dan ketenangan” di rantau terbabit.
Kedua-dua negara turut memaklumkan bahawa mereka meneruskan usaha intensif “untuk merapatkan perbezaan pandangan dan menyelesaikan perkara yang menjadi pertikaian bagi mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh utusan Presiden AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, sekali gus membolehkan rundingan tidak langsung disambung semula berasaskan cadangan tersebut.”
Mereka juga menyatakan “berusaha agar gencatan senjata sementara selama 60 hari dapat dicapai dengan segera, yang akan menjadi asas kepada perjanjian gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza.”
Kenyataan itu turut menyebut langkah berkenaan “akan memudahkan penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan luar biasa” di rantau berkenaan, serta membuka laluan lintasan sempadan dan membolehkan bantuan kemanusiaan serta bantuan kecemasan disalurkan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
Turut ditegaskan, gencatan senjara itu diharap dapat menamatkan peperangan sepenuhnya dan memulakan semula pembinaan semula Semenanjung Gaza selaras dengan pelan yang diluluskan pada sidang kemuncak tergempar Arab di Kaherah pada 4 Mac lalu.
- Bernama/Anadolu
