Polis tolak permohonan Bersih
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri tidak memberi kebenaran kepada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka Sabtu ini untuk mendesak supaya kerajaan mengadakan pilihanraya yang adil dan bersih di negara ini.
Timbalan Menterinya Datuk Johari Baharom berkata setakat hari ini, polis tidak mengeluarkan permit untuk pehimpunan itu dan sekiranya dianjurkan juga, ia boleh dianggap sebagai perhimpunan haram.
Beliau berkata Bersih pernah menghantar borang permohonan mendapatkan permit pada 3 November lalu dan berdasarkan kepada perkara-perkara tertentu, polis tidak mengeluarkan permit kebenaran untuk mengadakan perhimpunan tersebut, demikian menurut laporan Bernama.
"Saya difahamkan polis tidak mengeluarkan permit kepada perhimpunan ini kerana Bersih ini adalah sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar. Selain daripada itu, kebenaran untuk menggunakan Dataran Merdeka juga tidak diperolehi daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Saya difahamkan bahawa kita dapat maklumat akan ada perarakan dan mengganggu ketenteraman awam dan sebagainya, atas alasan itu maka polis tidak membenarkan perhimpunan ini dijalankan pada hari itu," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.
'Tindakan tegas'
Beliau berkata pihak kementerian sudah mengarahkan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih berdegil untuk mengadakan dan menyertai perhimpunan pada hari itu nanti.
Katanya tindakan terhadap mereka yang didapati menyertai perhimpunan itu adalah tertakluk di bawah Seksyen 27, Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan haram.
"Jadi saya merayu kepada semua orang ramai supaya jangan menyertai perhimpunan itu dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa juga yang akan berada di situ atau terjebak dengan perhimpunan itu.
"Kita kenal pasti ketua-ketua mereka dan kita akan ambil tindakan sekeras-kerasnya kalau didapati mereka masih berdegil untuk meneruskan perhimpunan itu walaupun tanpa permit," katanya.
Bagaimanapun Johari berkata pertubuhan terbabit boleh melantik beberapa anggotanya dan memaklumkan kepada pihak polis Bukit Aman, sekiranya mereka ingin menghantar memorandum kepada pihak yang berkaitan secara aman.
Surat rayuan
Bersih - gabungan 60 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti pembangkang, merancang mengumpukan 100,000 untuk menyertai perhimpunan tersebut, yang dijadual bermula jam 3 petang - sehari selepas tamat perhimpunan agung Umno.
Mereka juga merancang untuk berarak ke Istana Negara untuk mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 5 petang, menuntut supaya pilihanraya diadakan secara adil dan bersih.
Pihak penganjur juga meminta mereka yang menyertai perhimpunan itu supaya memakai pakaian berwarna kuning.
Ketika dihubungi, anggota sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa berkata, pihaknya menerima surat dari Ketua Polis Dang Wangi, Mohd Zulkarnain Abdul Rahman pagi tadi, memaklumkan bahawa permohonan Bersih mendapat permit bagi perhimpunan itu telah ditolak .
Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Mohd Zulkarnain esok untuk merayu terhadap keputusan polis menolak permohonan permit tersebut.
Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa pihak polis supaya bertindak tegas menangkap pihak penganjur perhimpunan 10 November itu kerana ia satu perhimpunan haram.
"Ini bukan soal saya anti demokrasi, tak nak dengar suara rakyat, ini soal undang-undang, ini soal haram, mereka perlu ditangkap...," katanya.
"Saya cabar pembangkang, jangan jadi beruk-beruk di jalanraya tetapi bertanding dalam gelanggang pilihanraya umum," katanya.