Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Elemen konsisten nampak dah mula bertapak

ULASAN SUKAN | Sedar tak sedar, skuad badminton negara sudah mengungguli empat gelaran dalam tempoh tiga minggu berturut-turut.

Jarang sekali senario membanggakan seperti ini dapat dirakamkan buat tatapan peminat tanah air dalam kalendar Jelajah Dunia BWF. Syabas!

Semalam pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil garang menyambung rentetan kemenangan kita dalam final apabila menjuarai Terbuka Singapura.

Terdahulu, pasangan nombor tiga dunia itu bersama-sama jaguh beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menjulang trofi kejuaraan Terbuka Thailand pada 13 hingga 18 Mei lalu.

Selang seminggu kemudian, saat ceria itu berterusan di laman sendiri. Pasangan lelaki nombor lapan dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula menunjukkan aksi garang mereka memenangi gelaran Masters Malaysia (20-25 Mei).

Kebetulan, lawan ditumpaskan mereka dalam final pada hari berkenaan ialah rakan sepasukan, Aaron-Wooi Yik.

Ini menunjukkan elemen konsisten macam sudah mula dibina secara perlahan-lahan dalam kem badminton negara, khasnya dalam acara beregu lelaki.

Ya, ia satu petanda positif tapi ranjaunya masih banyak di hadapan. Jalan masih jauh sebelum mereka dapat melakar nama dengan gah pada penamat musim jelajah, Dis ini.

Kumpul mata ranking dunia

Ketika keletihan masih dirasai, gandingan Aaron-Wooi Yik tampil membuktikan kemampuan mereka di Singapura, dan habuannya ialah hadiah RM314,997 sebagai imbuhan atas keringat mereka selama lima hari.

Bekas juara dunia 2022 itu masih menunjukkan selera besar untuk melakukan sesuatu di Terbuka Indonesia pada minggu ini.

Tapi, kali ini biarlah kita bersabar sedikit. Tiga minggu ke final berturut-turut boleh menjejaskan sedikit rentak permainan. Situasi sama juga pernah dialami jaguh dari China, Korea Selatan atau pun Jepun, umpamanya.

Lagi pun pemain tetaplan manusia, bukan robot. Mereka perlukan rehat yang mencukupi untuk kembali lebih cergas dalam kalendar jelajah dunia yang bermula Jan sehingga Dis setiap tahun.

Andai nanti di Jakarta mereka hanya mampu mara ke suku akhir atau separuh akhir pun boleh dianggap pencapaian yang baik dan cukup konsisten bagi mengutip mata ranking dunia dan hadiah wang.

Komunikasi yang baik jadi kunci

Mungkin giliran pemain beregu nombor satu dunia yang baru, Goh Tze Fei-Nur Izzuddin Rumsani atau Wei Chong-Kai Wun dan Pearly-Thinaah pula menggalas harapan pasukan.

Kembali kita merenung aksi final Terbuka Singapura yang juga detik kemenangan bermakna yang menamatkan kemarau 17 tahun negara tanpa gelaran.

Kali terakhir kejohanan itu dimenangi Malaysia ialah pada edisi 2008 melalui pasangan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazar.

Jika anda menonton siaran langsung semalam, apa yang dapat dilihat ialah semangat membara, kesungguhan dan komitmen dipamerkan Aaron-Wooi Yik untuk mencipta kemenangan.

Mereka nampak mahukan kemenangan dengan apa cara sekali pun.

Kedua-dua pemain negara juga berkomunikasi dengan baik. Mereka memainkan peranan untuk mententeramkan antara satu sama lain setiap kali melakukan kesilapan.

Ia menampakkan bagaimana mereka boleh bertenang dan bersabar selain pada masa sama memiliki mentaliti yang begitu baik – sekali gus memberi petanda bahawa mereka mungkin mendaki ranking dunia untuk unggul di tempat teratas tidak lama lagi.

Menarik untuk melihat wajah penuh yakin ditunjukkan oleh Wooi Yik di dalam gelanggang. Nafasnya macam berapi setiap kali dia dan pasangannya mengutip mata demi mata.

Dia juga muncul antara yang paling menyerlah di atas gelanggang ketika menumbangkan pasangan lawan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21,21-18,21-19 dalam saingan penuh dramatik di Stadium Tertutup Singapura.

Apabila mereka memenangi mata kemenangan dalam set ketiga, Wooi Yik menjerit tanda kepuasan. Emosi sama ditunjukkan Aaron juga menceritakan betapa mereka mahu mati-matian mahu menghadiahkan kemenangan kepada penyokong Jalur Gemilang.

Malah ketika ditemu bual sejurus tamat perlawanan lebih sejam itu, Aaron berkata: “Ini kemenangan bukan untuk kami saja tetapi kepada semua penonton yang menyokong kami di sini.”

Tidak dinafikan juga motivasi dan bimbingan ketua jurulatih beregu negara, Herri Iman Pierngadi amat bermakna. Ia kerana setiap kali tercicir mata, mereka kembali pantas merapatkan semula kedudukan dengan lawan – sesuatu yang jarang kelihatan pada mereka sebelum ini.

“Kami harus beri pujian kepada jurulatih baru kami. Dia banyak mengemaskan corak permainan kami. Ini untuk memastikan kami lebih kukuh dan terus konsisten.

“Apabila kami turun ke gelanggang, kami yakin dan sudah tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Aaron kepada portal sukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Selepas menerima trofi kejuaraan, penulis sempat melihat air mata Wooi Yik mengalir. Dia amat gembira dan berpuas hati kerana segala keringat yang dicurahkan sudah berbalas.

Secara tidak langsung, ini juga memberikan satu mesej kepada pemain negara lain bahawa mereka juga ada kemampuan sama untuk menang di pentas antarabangsa. Syaratnya – kena ada semangat membara dan yakin pada diri sendiri.

Semoga Aaron-Wooi Yik boleh menjadi contoh kepada pemain lain, khususnya barisan generasi remaja agar mereka mampu garang di dalam gelanggang sehingga menggerunkan pihak lawan, bukan sebaliknya.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS