Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ masuk kabinet: Peluang reformasi atau perjudian politik?

Ketika Khairy Jamaluddin sudah menjenamakan semula dirinya lebih daripada sekadar ahli politik, muncul cakap-cakap politik yang mendakwa bekas menteri dan ketua Pemuda Umno itu bakal menyertai kabinet.

Dia seolah-olah menjadi orang terbuang sebelum dipecat daripada Umno pada akhir Jan 2023 selepas berseteru dengan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum itu – ketika PRU – dia dibawa keluar dari kerusi selamat di Rembau, Negeri Sembilan untuk bertanding di kerusi selamat untuk PH, Sungai Buloh. Walaupun memberikan saingan sengit, Khairy gagal merampas kerusi berkenaan.

Dia kalah kepada bekas Bendahari Agung MIC, R Ramanan, yang bertanding sebagai calon PKR-PH.

Penganalisis politik, P Sivamurugan Pandian, menganggap khabar angin Khairy akan kembali sebagai menteri sebagai simbol usaha pemodenan dan penjenamaan semula Umno bagi menarik pengundi muda, pengundi bandar dan kelompok sederhana.

Ahli akademik di Universiti Sains Malaysia itu berpendapat andainya pemimpin Umno bersedia menerima semula Khairy, 49, dan tidak menganggap tokoh itu sebagai ancaman, ia boleh menjadi langkah pendamai untuk merapatkan jurang dalam parti.

“Khairy dilihat sebagai individu yang pandai berbicara, progresif dan memahami isu semasa.

“Namun, dia perlu meyakinkan barisan pemimpin lama supaya mereka tidak melihatnya sebagai ancaman, sebaliknya rakan dalam perjuangan parti dan negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Sivamurugan Pandian

Sivamurugan juga menyatakan Khairy sudah membentuk naratif – dan mendapat pengiktirafan kukuh – melalui media namun peranan sebagai menteri memerlukan tokoh berkenaan lebih daripada itu.

Khairy, kata Sivamurugan, perlu menunjukkan kesanggupan politik, dinamik dan mendapat kepercayaan orang ramai.

“Ia juga boleh dilihat sebagai kesediaan kerajaan untuk memberi peluang kedua dan menghargai merit melalui pendekatan yang lebih inklusif, pragmatik dan berorientasikan reformasi,” katanya.

Menurut Sivamurugan lagi, jika peluang yang disebut-sebut itu muncul, Khairy wajar melihatnya sebagai kemunculan semula daripada "cuti politik" seperti yang pernah dilalui oleh bapa mentuanya, Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi.

Jika ada pertembungan

Untuk rekod, suatu ketika dulu Abdullah pernah ‘terbuang’ daripada arus perdana Umno di sebalik jawatannya yang kanan dalam parti itu ekoran memilih untuk bersama kem Tengku Razaleigh Hamzah – yang mencabar Dr Mahathir Mohamad – pada 1987.

Di sebalik posisinya sebagai naib presiden, Abdullah hanya menyertai kabinet tiga tahun kemudian sebelum menjadi perdana menteri pada 2003.

Ketua penyelidikan di firma O2 Research, Anis Anwar, berkata reaksi rakyat terhadap khabar angin kemasukan semula Khairy ke kabinet bergantung kepada peranan yang bakal dimainkan.

“Kemasukan semula Khairy mungkin sekadar mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tengku Zafrul Abdul Aziz, menjadikan pelantikan itu sebagai penyelesaian sementara dan bukan penegasan reformasi jangka panjang.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

“Namun, jika Umno mengambil peluang ini untuk menaikkan semula Khairy ke lapisan kepimpinan utama, itu menunjukkan kesediaan mereka mengembalikan dia sebagai tokoh penting parti,” katanya.

Anis berkata, kemasukan Khairy akan menjadi ujian segera sama ada kabinet dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh menyesuaikan visinya dalam pentadbiran harian.

“Sekiranya berlaku pertembungan, rakyat mungkin memihak kepada Khairy dan ini boleh memberi kesan kepada modal politik kerajaan.

“Namun jika prestasi kerajaan meningkat dengan kehadiran Khairy, perbandingan antara ‘sebelum Khairy’ dan ‘selepas Khairy’ akan berpihak kepada beliau (Anwar).

“Hanya jika perdana menteri berjaya menampilkan kejayaan itu sebagai hasil kolektif kabinet melalui agenda reformasi Madani, barulah kerajaan akan mendapat manfaat lebih besar,” katanya.

Anis juga berpendapat, walaupun Khairy boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad, ia mungkin hanya bersifat sementara.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS