Sebuah universiti di China, mencetuskan kontroversi apabila mengiklankan jawatan pengurus kantin yang mensyaratkan calon memiliki ijazah doktor falsafah (PhD).
Iklan yang diterbitkan pada 22 Mei di laman web rasmi Universiti Tenggara di Nanjing, Jiangsu itu mengejutkan ramai, kerana jawatan ini biasanya tidak memerlukan kelayakan akademik setinggi itu.
Universiti Tenggara dianggap pintu masuk kepada peluang pekerjaan dan pelajaran lanjutan yang lebih baik.
Namun, keperluan PhD untuk mengurus kantin dianggap keterlaluan oleh ramai pihak, lapor South China Morning Post.
Tugas pengurus kantin termasuk mengawasi penyediaan hidangan, mengurus kontraktor kantin, memastikan keselamatan makanan, dan mengendalikan kerja pentadbiran.
Calon juga perlu mahir dalam bahasa Inggeris dan perisian pejabat, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang memiliki pengalaman berkaitan makanan, pemakanan, atau seni kulinari, serta keanggotaan dalam Parti Komunis China.
Gaji tahunan yang ditawarkan ialah 180,000 yuan (RM112,000), jauh lebih tinggi daripada purata gaji pekerja bandar di China, iaitu 124,110 yuan (sektor bukan swasta) dan 69,476 yuan (sektor swasta) pada tahun lalu.
Iklan itu mencetuskan perbincangan hangat dalam talian.
Ada yang mengaitkan syarat itu dengan fenomena “neijuan” – persaingan berlebihan yang tidak membuahkan hasil sepadan.
Kadar pengangguran bandar di kalangan belia China (16–24 tahun) berada pada tahap 15.8 peratus pada April 2025, menunjukkan tekanan untuk memperoleh kelayakan tinggi demi pekerjaan stabil.
Seorang kakitangan universiti berkata calon tidak perlu menjadi tukang masak, tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang memiliki sijil memasak atau latar belakang dalam bidang makanan.
Namun, ada yang berspekulasi jawatan ini “disesuaikan” untuk individu tertentu yang mempunyai hubungan, kerana sukar membayangkan seorang graduan PhD turut memiliki sijil memasak.
