Na’imah Abdul Khalid, isteri allahyarham Daim Zainuddin, meluahkan kemarahan terhadap tindakan terbaru SPRM merampas lebih banyak aset keluarganya dan berikrar akan mencabar tindakan itu di mahkamah.
Katanya, tindakan itu akan diambil demi “mempertahankan apa yang tidak sepatutnya dirampas” dalam negara yang ditadbir oleh undang-undang.
Na’imah juga menyifatkan tindakan SPRM bermotifkan politik dan bersifat dendam.
“Saya tidak akan tunduk kepada pembuli.
“Kebenaran dan keadilan akan menang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) SPRM untuk membekukan akaun bank dan hartanah Na'imah bernilai lebih RM750 juta, termasuk kediamanan mewah, di London.
Langkah tersebut diambil siasatan terhadap Daim dan Na’imah berhubung Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya yakin masih ada harta lain milik Daim dan Na’imah di luar negara namun tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa seperti yang diarahkan.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Na’imah berkata tindakan SPRM di mahkamah secara sepihak itu sebagai “pencabulan mengejut norma undang-undang yang paling asas”.
“Ia langsung tidak boleh diterima bahawa perkara sebegini berlaku di Malaysia,” katanya sambil menyifatkan SPRM “bersembunyi di sebalik selimut legaliti”.
“Penyitaan harta oleh kerajaan tanpa sebarang notis kepada pemilik yang sah merupakan satu duluan yang berbahaya.”
Dia menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian kempen pemburukan panjang terhadap Daim dan keluarganya sejak akhir tahun 2022.
